
Jovian Mandagie bersama bapa mertuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menantu Perdana Menteri, Datuk Jovian Mandagie menafikan lantikan sebagai Naib Pengerusi Eksekutif sebuah syarikat pengeluar pakaian dalam wanita, Caely Holdings.
Syarikat tersebut, Caely sebelum ini dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia pada 14 Jun menamakan Jovian sebagai Naib Pengerusi Eksekutif.
Bagaimanapun, Jovian sebaliknya berkata pelantikannya adalah salah, tidak benar dan mengelirukan orang awam.
Katanya, beliau memang menghadiri mesyuarat dengan wakil daripada Caely Holdings, Datuk Loh Ming Choon pada 13 Jun lalu untuk berbincang mengenai potensi kolaborasi dengan syarikat berkenaan.
“Wakil syarikat itu juga menawarkan jawatan dalam lembaga pengarah Caely Holdings sebagai Naib Pengerusi Eksekutif, bertujuan merombak dan / atau mengembangkan bahagian pakaian Caely Holdings, namun tiada persetujuan mulut dicapai.
“Saya juga ingin menegaskan saya tidak melakukan sebarang bentuk persetujuan yang mencerminkan penerimaan saya terhadap tawaran pelantikan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jovian berkata, pengumuman dibuat syarikat tersenarai itu mencemar reputasi korporat, perniagaan dan peribadinya.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung perkara itu untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melaporkan kesalahan berkenaan kepada pihak berkuasa seperti Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Sementara itu, semakan melalui laman sesawang Bursa Malaysia mendapati pengumuman itu dibuat bawah tajuk ‘Change in Boardroom’, yang turut menyertakan latar belakang profesional Jovian dalam kenyataan bertarikh 14 Jun 2022 itu.