
Peranan doktor di unit kecemasan sangat penting bagi memastikan rawatan awal diberikan kepada pesakit.
Tujuh hari lalu, Salleh, 30 (bukan nama sebenar) baru sahaja dikejarkan ke unit kecemasan di salah sebuah hospital berdekatan dengan rumahnya. Dia tiba-tiba diserang sesak nafas selepas bersenam.
Dalam keadaan dilema kerana tiada sebarang rekod masalah kesihatan, Salleh terpaksa akur ditolak masuk ke zon kuning.
Rupa-rupanya, doktor telah mendapati paru-paru Salleh telah bocor sehingga oksigen di dalam badannya turun mendadak.
“Alhamdulillah, tindakan hadir ke unit kecemasan dengan pantas sebenarnya telah menyelamatkan nyawa saya,” ujarnya.
Kes Salleh merupakan salah satu bukti penerimaan pesakit secara tiba-tiba di unit kecemasan.
Pastinya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih mengganas kini, Unit Kecemasan, Trauma dan Kemalangan di hospital adalah lokasi penting dalam mendepani kemelut kesihatan pesakit.
Situasi itu turut diakui oleh Ketua Pegawai Perubatan, Bahagian Kecemasan, Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr. Ahmad Wildan Azhar.
Menurut beliau, peranan utama bahagian kecemasan adalah memberi rawatan awal yang penting kepada pesakit.
“Ini termasuk memastikan pesakit berada dalam keadaan yang stabil dari segi pengudaraan (airway) pernafasan (breathing) pengaliran darah (circulation) dan kecacatan (disability). Jika pesakit sudah distabilkan, langkah seterusnya adalah memastikan jenis kecederaan yang dialami pesakit dengan cara pemeriksaan fizikal penuh, X-ray dan imbasan jika perlu sebelum pesakit dirujuk kepada pakar.
“ Jika kecederaan yang dialami pesakit dianggap ringan, kebiasaannya pesakit akan dibenarkan pulang dari bahagian kecemasan hospital terbabit selepas rawatan awal diberikan,” katanya.
Tambah Dr. Wildan, purata kes bahagian kecemasan kebiasaannya bergantung kepada kapasiti hospital sama ada awam atau swasta dan kepadatan penduduk di sekitar hospital terlibat.
Sebagai contoh, Hospital Pantai Pulau Pinang mempunyai purata kes dalam 30 hingga 50 pesakit sehari. Jika dibandingkan dengan hospital awam, kebiasaannya jumlah pesakit boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda jumlah tersebut.
“Kakitangan perubatan seperti pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan adalah tonggak utama kepada pengurusan pesakit. Selain itu, juru X-ray, pegawai farmasi serta juruteknologi makmal perubatan merupakan individu-individu yang banyak memberi sokongan kepada bahagian kecemasan dalam rawatan pesakit secara menyeluruh,” ujarnya,
Tambah Dr. Wildan, kebiasaannya pesakit akan dinilai di bahagian triage untuk menentukan tahap keseriusan kes tersebut.
Terdapat tiga kategori yang biasa diguna pakai oleh bahagian kecemasan di mana-mana hospital iaitu Merah (Kritikal) yang perlu dilihat serta-merta, Kuning (Berisiko Tinggi) yang perlu dilihat dengan segera atau kurang dari 30 minit dan Hijau (Tidak Kritikal).
“Mana-mana hospital akan memberi prioriti kepada pesakit kategori Merah dan Kuning untuk dilihat dan distabilkan terlebih dahulu kerana boleh melibatkan kehilangan nyawa.
“Oleh sebab itu, pesakit kategori Hijau kebiasaannya mengambil masa yang lebih lama untuk dilihat oleh pegawai perubatan di bahagian kecemasan,” katanya.
Mengulas persediaan pandemik, Dr. Wildan menjelaskan, petugas-petugas perubatan di hospital secara keseluruhannya sudah divaksin dan rata-rata memiliki ketahanan yang lebih kuat terhadap Covid-19.
Walaupun sudah divaksin, petugas sentiasa menggunakan PPE dan mengamalkan pembersihan tangan dengan kerap.
“Jika terdapat pesakit yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19, pesakit akan diasingkan di bilik isolasi sehingga keputusan ‘Covid swab test’ diperolehi.
“Proses sanitasi sentiasa dijalankan di bahagian kecemasan bagi setiap kes Covid-19 yang dijumpai,” katanya.