
Kenaikkan harga barang menjadi rungutan orang ramai.
Kebelakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita.
Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka.
Justeru, satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat.
Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan. Contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 60 atau 80 peratus sahaja.
Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatu barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.
Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan.
Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot dan sebagainya.
Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, dan tepung. Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak.
Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
TIPS BERJIMAT
- Hidup sederhana
Bahasa mudahnya kalau orang dulu-dulu bagi nasihat ialah berjimat cermat. Pepatah melayu ada mengatakan, ‘Ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis’, amatlah patut kita amalkan dalam kehidupan seharian bahkan sangat perlu pada ketika harga barangan semakin meningkat pada hari ini. Jauhi sifat boros dan pembaziran.
- Belajar ilmu pengurusan kewangan.
Banyakkan membaca buku-buku atau artikel yang berkaitan dengan kewangan. Bila kita mempunyai ilmu, kita lebih mudah untuk menguruskan pendapatan. Kita boleh menganggarkan perbelanjaan bulanan, menetapkan sasaran menabung, membuat pelaburan dan menguruskan hutang. Perancangan sistematik terhadap pendapatan dapat dibuat. Kita dapat mengenal pasti diantara keperluan atau kehendak dalam kehidupan kita. Didik anak-anak supaya mereka celik kewangan.
- Tambah pendapatan.
Antara cara menambah pendapatan ialah dengan melakukan bisnes secara sampingan. Dalam situasi ekonomi tak menentu seperti zaman pandemik Covid-19 sekarang ini, mencari pendapatan tambahan adalah penting. Ada kalanya kita sudah berhabis berjimat cermat tetapi disebabkan kos sara hidup yang tinggi, kita tiada pilihan selain mencari peluang menambah pendapatan.