
Demam biasa VS Covid-19, apakah perbezaannya?-Gambar hiasan
Wabak coronavirus telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Sejak itu, ia merebak ke hampir setiap pelosok benua dunia. Bahkan wabak Covid-19 telah menjejaskan kebanyakan negara dari segi sosioekonomi dan perindustrian.
Walaupun Coronavirus menyebabkan kerisauan dan ketegangan di seluruh dunia, orang ramai tidak harus lupa tentang selesema biasa yang selalu menyebabkan ramai yang jatuh sakit dengan lebih kerap.
Dengan mengetahui tanda-tanda dan tahap risiko kedua-dua coronavirus dan selesema biasa, ia dapat membantu pemahaman kita dalam mengurangkan virus itu daripada terus menular.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit dari Pantai Hospital Ayer Keroh, Melaka, Dr Nor Hayati Shaharuddin, virus ialah agen penyebab bagi kedua-dua penyakit ini.
Namun, ia melibatkan virus yang berbeza tetapi agak sukar dibezakan berdasarkan penyebab masalah yang berlaku.
“Antara masalah-masalah akibat kedua-dua virus ini adalah ia menyebabkan gangguan sistem pernafasan dalam mana-mana kumpulan umur. Terdapat kes-kes yang disahkan Covid-19 merupakan asymptomatic atau mereka tidak mempunyai gejala, melalui pneumonia yang sederhana hingga tahap yang serius, kegagalan pernafasan, melibatkan multiorgan dan juga kematian.
“Selain itu, kedua-dua virus merebak melalui kontak atau sentuhan, titisan kelembapan dan permukaan atau objek yang tercemar. Akibatnya, langkah-langkah kesihatan awam juga sama, seperti menjauhkan sosial, menjaga kebersihan tangan dan etika pernafasan yang baik (batuk ke siku atau ke dalam tisu dan segera melupuskan tisu), adalah tindakan penting untuk kita mengambil untuk mencegah jangkitan,” katanya.
Mengulas perbezaan antara influenza dan selesema biasa, beliau memberitahu, ia amat membimbangkan kerana tidak menunjukkan perbezaan yang ketara.
Tambah beliau, tanpa ujian makmal yang khusus, sukar untuk membezakan antara demam biasa dan Covid-19 hanya melalui tanda dan simptom yang dialami. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan iaitu melalui kadar jangkitan yang dialami.
Secara amnya, orang yang mengalami selesema biasanya akan mempunyai gejala dalam masa satu hingga empat hari. Walaubagaimanapun, tanda-tanda untuk Covid-19 pula boleh berlaku antara satu hingga 14 hari.
“Pakar-pakar perubatan menganggarkan bahawa setiap pesakit Covid-19 akan menjangkiti antara dua hingga tiga orang. Ini dua kali ganda semasa musim selesema yang biasanya menjangkiti 1.3 orang bagi setiap pesakit.
“Ini bermakna bahawa influenza boleh merebak lebih cepat daripada Covid-19 tetapi lebih kepada penyakit akut dan boleh pulih lebih cepat. Covid-19 adalah lebih perlahan pada permulaan tetapi ia mempunyai potensi untuk berpanjangan dengan merebak kepada lebih ramai orang,” jelasnya.
Dr. Nor Hayati menambah, jangkitan selesema daripada kanak-kanak kepada orang dewasa adalah perkara biasa. Walau bagaimanapun, berdasarkan data awal ternyata bahawa ia adalah lebih biasa untuk orang dewasa untuk memberi jangkitan Covid-19 ke kanak-kanak. Namun, kanak-kanak kurang cenderung untuk mengalami sebarang gejala.
“Selain kawasan tropika, selesema mengikut pola bermusim yang berbeza pada setiap tahun. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang tahu apakah corak coronavirus. Ini kerana ia adalah virus baru, ia telah menyebabkan wabak dan kita tidak tahu bila ia akan berhenti.
“Perbezaan yang paling penting antara demam selesema dan Covid-19 adalah yang terakhir jauh lebih berbahaya. Kira-kira 0.1 peratus daripada orang-orang yang menghidap selesema mengalami kematian. Manakala data WHO menunjukkan bahawa kadar kematian Covid-19 adalah kira-kira 3..4 peratus,” katanya.
Menjelaskan tentang kumpulan yang berisiko, beliau berkata, mereka yang berada dalam kumpulan berisiko adalah pesakit jangkitan influenza yang serius, warga tua, dan mereka yang mengalami masalah penyakit serius dan immunosuppressive –kawal atau daya ketahanan badan yang rendah.
Tambah Dr. Nor Hayati, orang yang demam, batuk dan kesukaran bernafas perlu mendapatkan perhatian perubatan.
“Untuk Covid-19, pemahaman kita bahawa umur yang lebih tua dan faktor asas mengalami risiko lebih tinggi terhadap penyakit serius,” katanya.
Justeru, cara terbaik melindungi diri adalah sama seperti yang dilakukan terhadap mana-mana jangkitan pernafasan. Beliau menasihatkan agar orang ramai mengamal kebersihan diri yang baik dengan termasuk membasuh tangan dengan rapi sekurang-kurangnya 20 saat menggunakan sabun dan air, atau dengan bahan gosokan tangan beralkohol
“Anda juga perlu menutup hidung dan mulut dengan tisu atau lipatan siku apabila batuk dan bersin. Tidak ketinggalan, anda perlu mengelakkan bertembung dekat dengan sesiapa yang ada simptom selesema atau serupa flu. Paling penting, pastikan anda duduk di rumah jika tidak sihat,” jelasnya.