
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Media seharusnya tidak menghadapi sekatan ketika membuat laporan, tetapi mesti menggunakan kebebasan itu dengan penuh tanggungjawab, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam ucapan penggulungan Forum Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2022 hari ini, beliau menyeru agar media berpegang teguh pada ketepatan pelaporan bagi mengelak maklumat salah dan menyiarkan berita palsu.
“Saya secara peribadi percaya bahawa kita perlu bukan sahaja memastikan hak (untuk melaporkan) tidak disekat tetapi perlu ada penggunaan yang bertanggungjawab untuk hak ini.
“Mereka yang terlibat dalam industri media berita tempatan perlu berhati-hati dalam apa yang mereka laporkan dan berusaha untuk menyampaikan mesej daripada mana-mana pihak dengan cara yang paling tepat,” katanya.
Wan Junaidi menjelaskan bahawa laporan yang tidak tepat atau tidak betul boleh menjejaskan orang lain, sambil mengatakan beliau secara peribadi turut menjadi “mangsa” dalam beberapa kes.
Menteri itu berkata ada kalanya beliau menjadi subjek “artikel mengelirukan” yang “memasukkan kata-kata”, yang kemudian memerlukan beliau menjelaskan kedudukan sebenar.
“Saya kemudiannya akan dihujani dengan begitu banyak soalan utama akibat maklumat dan berita yang mengelirukan dan tidak tepat.
“Saya akan dibiarkan untuk [melakukan] kawalan kerosakan, untuk menjelaskan, dan mempertahankan diri saya pada sesuatu yang saya tidak katakan pada awalnya,” tambahnya.
Awal hari ini, Kedutaan Belanda di Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menganjurkan forum sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2022 yang bertemakan “Kewartawanan Di Bawah Kawalan Digital”.