
MCMC melakukan siasatan mengikut Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan di 3,038 lokasi di 16 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertindak terhadap syarikat telekomunikasi sekiranya mereka gagal menyediakan perkhidmatan rangkaian yang berkualiti.
Ketika audit teknikal di seluruh negara untuk menilai kualiti capaian internet di bawah Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), audit mendapati Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, dan U Mobile Sdn Bhd, gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik perkhidmatan berkualiti.
Semakan audit mendapati ketiga-tiga penyedia internet itu gagal memastikan perkhidmatan rangkaian berkualiti di Langkawi, termasuk Lebuhraya Langkawi dan kawasan pelancongan lain.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata MSQoS dijalankan di 3,038 lokasi di 16 negeri dan Wilayah Persekutuan, dengan lokasi dipilih berdasarkan tempat aduan diterima.
“Daripada 3,038 lokasi itu, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun 2022,” katanya.
Menurutnya Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022 menuntut ketiga-tiga syarikat itu membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi MSQoS.
“Kegagalan syarikat telekomunikasi dalam mematuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 mengikut Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
MCMC juga menjelaskan proses audit yang dijalankan itu adalah rutin yang sering dilakukan bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan.
Bermula pada 2021, MCMC telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri di mana salah satu penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit.
“Selain itu, MCMC turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS perkhidmatan capaian jalur lebar tanpa wayar. Jika dahulu audir dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dilakukan di seluruh lokasi,” kata MCMC.