
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengadap Sultan Kedah mohon pembubaran DUN.
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyerahkan kepada Menteri Besar sama ada akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen tahun ini, atau sebaliknya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang juga Menteri Besar yang menghadap Sultan Kedah, Selasa lalu (3 Oktober 2022).
Muhammad Sanusi berkata beliau telah menyembah maklum perkara itu kepada Sultan Kedah, Selasa lalu.
“Saya sudah sembah maklum kepada Sultan Kedah pada Selasa lalu, bahawa kerajaan negeri tidak akan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Mac 2023 dan hanya selepas itu boleh dipertimbang untuk bubar.
“Tuanku titah kepada saya itu kuasa Menteri Besar dan terpulang kepada pertimbangan saya, maka DUN Kedah selamat tidak perlu pilihan raya sehingga tahun depan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, hari ini (7 Oktober 2022).
Sehubungan itu, beliau berharap PRU-15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini dan mencadangkan dilaksana selepas April 2023.
Rabu lalu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu telah membuat ketetapan bahawa DUN di tiga negeri diperintah PAS tidak akan dibubarkan tahun ini.
Ketetapan itu menyusul selepas negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan membuat keputusan sama.
“Sekiranya Parlimen dibubarkan pada waktu ini, tiga negeri bawah pimpinan PAS, Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak akan dibubarkan.
“Yang saya difahamkan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan turut bubar,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapan ketika majlis penyerahan Watikah Ketua Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Selangor di Shah Alam.
Keputusan PAS dan PH itu menjadikan hanya tiga negeri sahaja iaitu Perlis, Perak dan Pahang akan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen jika PRU-15 diadakan tahun ini.
Ini kerana Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), masing-masing tahun lalu.
Sabah mengadakan PRN pada 26 September 2020; diikuti Sarawak 18 Disember 2021; Melaka (20 November 2021); dan PRN Johor (12 Mac 2022).