Selepas Moody’s Analytics membuat jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) keempatnya pada minggu ini, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) pula mengunjurkan kenaikan 100 bps dalam tempoh antara separuh kedua 2022 dan separuh pertama tahun depan.
Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Suhaimi Ilias berkata ia berikutan proses dasar monetari akomodatif BNM yang bermula dengan kenaikan 25 bps pada Mei.
Beliau menjangka BNM akan mengumumkan 25 mata asas dalam mesyuarat MPC minggu ini dan 25 mata asas lagi menjelang suku keempat 2022 serta 50 mata asas lagi pada separuh pertama 2023.
“Jangkaan kami ialah setiap kenaikan 25 bps pada asasnya akan mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 0.2 mata peratusan tdalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya menurut Bernama.
“Dan implikasi peningkatan OPR termasuk peningkatan pembayaran balik gadai janji sebanyak tiga peratus.”
Pada taklimat tinjauan pasaran Maybank IB Separuh Kedua 2022 yang diadakan secara maya hari ini Suhaimi berkata BNM akan menaikkan OPR disebabkan permintaan dalam negeri yang semakin meningkat dan kadar inflasi teras yang meningkat.
Beliau berkata Maybank IB telah menyemak semula unjuran kadar inflasi tahun ini kepada 3.4 peratus daripada 2.7 peratus sebelum ini dan meningkatkan unjuran kadar inflasi pada 2023 kepada 4.1 peratus daripada 2.5 peratus.
“Ini kerana kami telah memasukkan harga barangan makanan yang lebih tinggi seperti minyak masak dan ayam, mulai bulan ini berikutan harga siling lebih tinggi untuk ayam standard dan pemansuhan subsidi harga untuk minyak masak botol serta jangkaan bahawa subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan,” katanya.
Terdahulu MIDF Research turut berpendapat BNM akan “mempertimbangkan untuk satu lagi kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas” berikutan peningkatan berterusan dalam inflasi teras, sekali gus mencerminkan permintaan dalam negeri yang kukuh.
“Selain itu, momentum positif dalam jualan perdagangan pengedaran, penurunan kadar pengangguran kepada tahap rendah baharu pandemik iaitu 3.9 peratus pada 22 April 2022 serta kadar pengembangan dua angka perdagangan luar memberikan tanda-tanda positif terhadap pemulihan kukuh ekonomi,” katanya dalam satu nota penyelidikan.