Mayat dua beranak mangsa baharu banjir Taman Sri Muda ditemui

Dua lagi mayat mangsa banjir – anak beranak – di Seksyen 25 Taman Sri Muda, ditemui tengah hari tadi, menjadikan setakat ini 14 mangsa di Shah Alam iaitu lapan lelaki dan enam wanita.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata dua mangsa berkenaan adalah bapa dan anak yang ditemui di dalam sebuah rumah teres setingkat.

“Mangsa adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya yang berusia 48 tahun. Kita mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan ini.

“Susulan itu, pasukan membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan dan menemui mayat dua beranak itu sekitar jam 1.40 tengah hari tadi di dalam rumah mereka,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata sehingga kini tiada laporan mengenai orang hilang diterima susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Katanya, polis akan terus melakukan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir.

Sementara itu, Baharudin memaklumkan sejumlah 4,276 mangsa banjir direkodkan di Shah Alam dan 4,080 dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya memilih lokasi sendiri seperti berpindah ke rumah saudara atau keluarga terdekat.

Katanya, mangsa banjir yang enggan berpindah akan dibawa keluar sekiranya keadaan cuaca kembali bertambah buruk.

“Kita benarkan mereka berada di rumah dalam keadaan berjaga-jaga disebabkan cuaca tidak menentu.

“Kalau cuaca bertambah buruk kita akan keluarkan semua penduduk untuk dihantar ke PPS.

Beliau berkata paras air di beberapa kawasan tertentu masih berada pada paras pinggang selain kenderaan juga sukar memasuki kawasan berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR