
Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan kerajaan PH-UMNO, Mohamad Sabu gagal menangani isu telur ayam yang melanda negara sekarang ini.
Sebelum menjadi kerajaan, pemimpin Pakatan Harapan (PH) berdegar-degar bercakap menyalahkan kerajaan terdahulu, sambil mengemukakan pelbagai teori untuk menyelesaikan masalah inflasi, kos sara hidup, kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi rakyat.
Namun, setelah menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dengan mendapat kerjasama UMNO, pemimpin PH masih gagal menawarkan penyelesaian walaupun berkaitan sekecil-kecil isu iaitu bekalan telur ayam dan harga ayam.
Akibatnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) yang menterinya ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mendapat markah tercorot berdasarkan pandangan awam seperti didedahkan sesi pemukiman Jemaah Menteri semalam.
Mohamad atau mesra dengan panggilan ‘Mat Sabu’ sendiri mendedahkan kementeriannya mendapat markah tercorot sebagaimana didedahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada sesi pemukiman itu.
Namun, tidak mengaku gagal menyelesaikan isu telur dan ayam itu, beliau sebaliknya menyalahkan pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Masalah ayam dan telur telah berlaku selama setahun dan bukan berlaku selepas kita (kerajaan PH-UMNO) ambil negara sejak Disember lalu.
“Malah, markah (tercorot) itu bersambung sejak kepimpinan lalu sehingga ke hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 MAFS, di Putrajaya, hari ini (16 Januari 2023) seperti dilapor Utusan.
Bagaimanapun, Mat Sabu mengulangi jaminan bahawa kementeriannya akan cuba mengatasi isu berkenaan sambil mendakwa buat masa ini bekalan ayam sudah stabil, manakala telur pula dijangka dapat distabilkan tidak lama lagi.
Mohamad berkata, beliau tidak boleh marah jika rakyat membuat rungutan kerana itu hak mereka dan sebagai kerajaan perlu bertindak cepat untuk menstabilkan bekalan berkenaan.
Menurutnya, ketika ini, isu kekurangan bekalan dan keterjaminan makanan bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia, sebaliknya di seluruh dunia.
Pada masa sama, katanya, pihaknya kini sedang berbincang dengan penternak-penternak telur berkait soal subsidi sama ada ia akan disusun semula, diteruskan atau diubah cara supaya bekalan dapat distabilkan.
“Ada pandangan supaya harga telur diapungkan dan subsidi harga telur diberikan kepada golongan B40. Kita akan kaji perkara itu sama ada ia baik atau tidak untuk golongan berkenaan.
“Soal menyusun semula subsidi juga perlu dibincang oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan,” katanya.