Masyarakat Cina tak alu-alukan kedatangan Najib ke Pulau Pinang: Persatuan

“Kamu telah melakukan jenayah dan kamu datang ke sini untuk menghadiri acara yang bersifat politik. Kami sentiasa menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya melakukan rasuah.”

Demikian kata Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) sambil menegaskan masyarakat Cina tidak akan menjemput atau mengalu-alukan kehadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke negeri itu.

Presiden PCCC Hong Yeam Wah berkata PCCC tidak mungkin menjemput atau mengalu-alukan Najib – yang telah disabitkan kesalahan rasuah – ke Pulau Pinang, kerana ahli perniagaan mengutamakan integriti melebihi segalanya.

Pada 28 Julai 2020 lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 8 Disember 2021 lalu, Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi itu turut berpendapat tindakan Najib dalam kes berkenaan bukan demi kepentingan negara tetapi hanya memalukan negara.

Najib kini menunggu rayuannya diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Hong berkata demikian ketika mengulas dakwaan Presiden Persekutuan Persatuan Keturunan Zhang Malaysia, Anthony Chang Wei Loon yang berkata masyarakat Cina di Pulau Pinang mengalu-alukan kedatangan Najib.

“Bagaimana dia (Chang) boleh mewakili kami? PCCC mempunyai sejarah lebih 100 tahun, dan lebih 10,000 ahli meliputi semua industri di Pulau Pinang.

“Hampir semua ahli perniagaan di sini adalah ahli kami, bukan ahlinya. Jadi pada dasarnya, kami tidak akan menjemput atau mengalu-alukan Najib ke majlis kami atau mengalu-alukan beliau ke Pulau Pinang.

“Kamu telah melakukan jenayah dan kamu datang ke sini untuk menghadiri acara yang bersifat politik. Kami sentiasa menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya melakukan rasuah,” katanya memetik laporan MalaysiaKini, hari ini.

Sementara itu, Hong enggan mengulas mengenai pemimpin masyarakat Cina Pulau Pinang lain yang menghadiri majlis dihadiri Najib semalam.

“Itu urusan mereka. Untuk PCCC, kami tidak akan menjemput Najib untuk datang. Ahli perniagaan sentiasa menekankan bahawa pemimpin harus mempunyai integriti dan bebas daripada rasuah,” tegas Hong.

Najib memulakan lawatan ke Pulau Pinang bagi mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina di negeri itu semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR