Masih ada berdegil, 5,594 kenderaan diarah berpatah balik semalam

Sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuching bagi mengawal pergerakan rentas daerah. – Gambar Agenda Daily

Walaupun amaran sudah diberikan supaya tidak cuba merentas negeri pulang ke kampung halaman, masih ramai yang berdegil dan semalam sebanyak 5,594 kenderaan diarah berpatah balik.

Kenderaan yang diarah berpatah balik tidak mempunyai dokumen sah untuk merentas negeri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR), menurut Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, SAC M V Srikumar Nair.

“Secara keseluruhan, sebanyak 456,019 kenderaan yang diperiksa di SJR seluruh negara semalam.

“Polis turut mengeluarkan 355 kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lapor portal hari ini.

Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik semalam meningkat berbanding 4,666 kenderaan pada kelmarin.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan dokumen yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak dibenarkan diguna untuk merentas negeri bagi tempoh 18 hingga 21 Julai.

Beliau dilaporkan berkata, ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kebenaran surat MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk sambutan Aidiladha.

Langkah menyekat orang ramai pulang ke kampung kali ini terpaksa diperketatkan, mengambil iktibar semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini apabila banyak kluster baharu penularan Covid-19 yang dikenalpasti berpunca daripada aktiviti pulang ke kampung.

POPULAR