
R Subramaniam, 41, (depan) bakal berdepan tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian pengawal keselamatan Ismail Ahmad (gambar kecil) di Sungai Petani, Kedah, pada Khamis (5 Ogos 2022).
Pengawal keselamatan yang cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani, semalam.
Mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu.
Susulan itu, seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam, atas tuduhan mencederakan mangsa menggunakan sebilah pedang, bakal dikenakan tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh, R Subramaniam, 41, mengaku bersalah mendatangkan kecederaan sebelum mahkamah menetapkan 29 Ogos untuk tarikh hukuman sementara menunggu laporan perubatan penuh mangsa.
Mahkamah turut membenarkan Subramaniam diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai.
Susulan kejadian itu juga berlaku penyebaran berita palsu di media sosial yang cuba dilakukan individu tertentu dipercayai sengaja mahu mencetuskan isu perkauman, namun polis menafikannya.
Memetik BH, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian mangsa, namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.
Difahamkan, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan punca kematian mangsa akan diketahui selepas bedah siasat yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat.
Dalam kejadian pada jam 4.40 petang Khamis lalu, Allahyarham Ismail cedera di kepala dan tangan kiri selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa ketika dia menunggang motosikal.
Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.