Mangsa banjir lima negeri selesai terima bantuan wang ihsan

Ketua isi rumah (KIR) di lima negeri – Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak – yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) masing-masing.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan sehingga semalam sebanyak RM106 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kerajaan negeri, untuk agihan bantuan itu.

“Sehingga 10 malam semalam, 50,939 ketua isi rumah telah menerima bantuan secara tunai daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 2,558 ketua isi rumah menerima serahan tunai di rumah dan 329 lagi menerusi transaksi ‘Electronic Fund Transfer’ (EFT).

“Untuk status agihan bagi ketua isi rumah yang terkesan banjir gelombang kedua, daripada 9,887 ketua isi rumah yang didaftarkan, 921 telah menerima BWI,” menurut kenyataan NADMA semalam.

Bagi agihan BWI yang melibatkan kematian, daripada 57 kes yang dilaporkan, 40 waris telah menerima bantuan RM10,000 dengan 18 daripada jumlah itu menerima tunai di PKOB, manakala 22 waris lagi telah dibuat serahan di rumah.

Selain itu, menurut laporan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sejumlah 319 ketua isi rumah telah membuat permohonan baucar diskaun barang elektrik.

“Menurut anggaran awal Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hampir 80,000 bilangan isi rumah yang terkesan dengan bencana banjir ini.

“Bantuan ini adalah untuk agihan kepada rumah kediaman pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) yang terkesan oleh banjir, dan tersenarai sebagai mangsa bencana oleh PKOB,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memaklumkan terdapat pertambahan satu kejadian tanah runtuh di Terengganu, menjadikan keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 di seluruh negara adalah 269.

Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaporkan sehingga hari ini, sebanyak 58 lokasi kejadian cerun runtuh dan tanah runtuh di seluruh negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR