Mangsa banjir di lapan negeri meningkat, ratusan jalan ditutup

December 20, 2021 · Isu semasa

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri iaitu Pahang, Kelantan, Selangor, Melaka, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan terus meningkat, dengan ada mangsa yang kini menumpang di beberapa buah masjid.

Ratusan jalan utama masih tidak dapat dilalui walaupun di sesetengah tempat air telah surut, tetapi laluan dipenuhi lumpur, sementara sekurang-kurangnya 73 jalan di Selangor juga tidak dapat dilalui.

Keseluruhannya, 402 PPS dibuka dan kini menempatkan 50,068 mangsa daripada 14,536 keluarga, lapor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui laman sesawang InfoBencanaJKM, hari ini.

Di SELANGOR, statistik aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memaklumkan sehingga tengah hari ini seramai 12,318 orang daripada 4,493 keluarga telah dipindahkan ke 85 PPS di semua daerah.

ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pula memaklumkan sebanyak 73 jalan ditutup membabitkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), susulan banjir yang masih belum surut setakat 4 pagi tadi.

Jalan-jalan itu ialah di bawah penyeliaan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (dua); Klang Utara (sembilan); Sungai Buloh (dua); Subang Jaya (11); Kuala Langat (27); Sepang (lima); Shah Alam (enam); Klang Selatan (10) dan Hulu Selangor (satu).

Di PAHANG, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi ini kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS malam tadi.

Daerah yang dilanda banjir masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-K) memaklumkan beberapa lokasi di lebuh raya masih ditutup antaranya di KM76-KM126 LPT1 Karak-Temerloh bagi kedua-dua arah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pula melaporkan beberapa paras sungai utama di negeri itu masih pada paras bahaya termasuk Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Tembeling, Sungai Lipis, Sungai Bentong, Sungai Lembing, Sungai Lepar dan Sungai Belat.

Di KELANTAN, sebanyak 40 PPS dibuka dengan sehingga tengah hari ini seramai 3,666 mangsa daripada 1,081 keluarga telah dipindahkan.

Empat sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.53 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (26.74 m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.12 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.28 m).

Di MELAKA jumlah mangsa banjir turun kepada 704 daripada 155 keluarga tengah hari ini, berbanding 826 mangsa daripada 183 keluarga pagi tadi.

Bagaimanapun, menurut Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin mangsa banjir di daerah Alor Gajah menunjukkan sedikit penurunan kepada 481 orang daripada 99 keluarga, manakala di Melaka Tengah individu terjejas banjir bertambah kepada 327 orang daripada 80 keluarga.

Sementara itu, di PERAK satu lagi PPS dibuka di Dewan Bandaran Teluk Intan semalam menjadikan setakat ini, tiga PPS sedang beroperasi di seluruh negeri.

Menurut jurucakap APM dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak, jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 258 orang berbanding 154 orang semalam, berikutan limpahan air Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di Seremban dan Port Dickson meningkat kepada 597 individu daripada 142 keluarga dengan 11 PPS dibuka setakat 8 pagi ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir menurun kepada 288 orang daripada 68 keluarga pagi ini, berbanding 297 orang daripada 69 keluarga semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Kemaman dan Dungun.

Di KUALA LUMPUR, JKM memaklumkan tiga PPS telah dibuka menempatkan 534 mangsa daripada 150 keluarga.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024· Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024· Politik
278 mangsa banjir di tiga negeri masih ditempatkan di PPS
January 17, 2024· Isu semasa
Popular
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Kesan negatif vape jangka panjang
August 25, 2021
Cuaca panas, operasi pembenihan awan bermula hari ini di Pulau Pinang
May 3, 2023
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok