Mangsa banjir di Kelantan catat peningkatan

Keadaan banjir secara keseluruhan bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Melaka, Pahang, dan Selangor menurun tengah hari ini.

Bagaimanapun, Kelantan yang diramal banjir bermula 8 malam ini menunjukkan pertambahan jumlah mangsa apabila seramai 510 orang daripada 145 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini, berbanding 31 orang, pagi tadi, menurut laporan Bernama.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapan PPS dibuka di Kelantan membabitkan tujuh di Jeli dan satu di Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya satu sungai mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu turun kepada 977 orang daripada 244 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS setakat tengah hari ini, berbanding 2,281 orang daripada 563 keluarga di 13 PPS pagi tadi.

Polis memaklumkan tiga jalan masih ditutup setakat 11.30 pagi ini iaitu di Jambatan FT 31 Dengkil – Banting dan Jalan Genting Peras – Kuala Klawang kerana dinaiki air banjir, selain jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka hujan di satu dua tempat akan berlaku di Selangor bermula pagi hingga malam ini.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir pada tengah hari ini berkurangan berbanding pagi tadi kepada 5,459 orang di 43 PPS, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

Mangsa banjir paling ramai direkodkan di Temerloh diikuti Pekan, Bentong, Kuantan dan Maran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan enam lokasi jalan masih ditutup iaitu Jalan Southern Loop di Bentong; Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut); Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran); dan Jalan Ulu Dong (Raub).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus turun kepada lapan orang daripada dua keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 16 orang daripada empat keluarga pada 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA), Cuthbert John Martin Quadra, berkata semua mangsa terbabit masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.

BERITA BERKAIT
POPULAR