
Kawasan Parlimen tempat Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini sudah dilanda banjir.
Daripada 271 mangsa banjir direkodkan pada pagi tadi, angka tersebut terus meningkat dengan seramai 295 orang daripada 85 keluarga lagi pada tengahari ini.
Mangsa banjir tersebut melibatkan kawasan sekitar Kulai dan juga termasuk kawasan Parlimen disandang Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas banjir melanda beberapa kawasan di Johor sejak semalam.
Setakat ini, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah.
Kulai kekal sebagai daerah paling terjejas dengan mangsa banjirnya kekal dengan 159 orang daripada 41 keluarga. Mereka ditempatkan di PPS (SMK) Bukit Batu.
Mangsa banjir kilat di Kluang turut meningkat sedikit apabila satu daripada dua PPS di sana merekodkan peningkatan jumlah mangsa.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kampung Renggam, kekal mencatatkan 33 mangsa daripada 15 keluarga, manakala PPS SK Sungai Linau pula merekodkan pertambahan mendadak ke 41 orang daripada 10 keluarga berbanding hanya 27 mangsa daripada tujuh keluarga, pagi tadi.
PPS dibuka di Pontian membabitkan SK Melayu Raya turut mencatatkan sedikit pertambahan kepada 62 mangsa daripada 19 keluarga berbanding hanya 52 mangsa daripada 16 keluarga, pagi tadi.