Malu ditipu syarikat “scam” vaksin, Ketua Menteri Pulau Pinang minta maaf

Susulan pendedahan penipuan derma syarikat “scam” vaksin Covid-19, Ketua Menteri DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang malu hari ini terpaksa membuat permohonan maaf kepada Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan kerajaan pusat.

Kon Yeow mengakui kesilapannya berhubung isu derma vaksin tersebut selepas pendedahan syarikat yang menawarkan tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 itu tidak wujud oleh Khairy baru-baru ini.

Malahan, Khairy juga sudah mengarahkan pegawainya menghubungi individu yang dikatakan mahu menderma vaksin tersebut dan mendapati tiada sebarang tawaran dibuat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini, dan berharap kita akan meneruskan segala usaha dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 seterusnya demi kebaikan seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini dibidas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy yang menjelaskan kerajaan negeri itu tertipu dengan sebuah scam palsu kononnya ia menerima tawaran sebanyak dua juta dos vaksin percuma daripada sebuah syarikat.

Khairy berkata siasatan ke atas tawaran itu tidak temui sebarang keterangan yang membuktikan kewujudan syarikat berkenaan, mahupun penulis surat tawaran itu, yang memperkenalkan dirinya sebagai pengarah urusan syarikat berkenaan.

Pemeriksaan rekod syarikat di Hong Kong mendapati syarikat berkenaan tidak wujud, malah tiada sesiapa pun mengenali penulis surat itu, yang dikatakan menetap di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow pula mengambil sikap mencari salah syarikat tersebut selepas pendedahan Khairy berkenaan.

Beliau juga meminta pengarah syarikat itu tampil memberi penjelasan dan menunjukkan bukti bagi membersihkan nama mereka.

Sementara itu, bekas ketua menteri, Lim Guan Eng juga sudah membuat permohonan maaf terhadap isu tersebut.

BERITA BERKAIT
POPULAR