
Ringgit menyusut.
Kedudukan ekonomi negara masih kukuh dengan pertumbuhan positif dan tidak berdepan risiko kemelesetan ekonomi seperti yang didakwa setengah pihak, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Nor Shamsiah menjelaskan risiko ketaktentuan ekonomi diperingkat global tidak akan menjejaskan keadaan ekonomi negara, ia memandangkan pertumbuhan negara dipacu oleh permintaan domestik dan peralihan ke fasa endemik yang memberi implikasi positif.
“Prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini membuktikan pemulihan berada dalam landasan yang betul.
“Pembukaan semula ekonomi menyaksikan pemulihan selanjutnya dalam permintaan domestik terutama perbelanjaan sektor swasta dan sektor eksport terus mencatatkan pertumbuhan dua angka,” katanya semasa sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2022, hari ini.
Jelasnya lagi, pembukaan semula sempadan antarabangsa juga akan merangsang aktiviti pelancongan.
Beliau berkata, berdasarkan perangkaan yang ada, ketibaan pelancong ke negara ini meningkat tiga kali ganda dalam tempoh dua bulan tahun ini, manakala jumlah trafik penumpang di lapangan terbang meningkat sejak Oktober tahun lalu.
Katanya, data terkini menunjukkan jumlah trafik penumpang meningkat lebih lima kali ganda dari tahun ke tahun.
“Pertumbuhan (ekonomi negara) akan dipacu perbelanjaan swasta di tengah-tengah sokongan dasar berterusan untuk isi rumah dan perniagaan.
“Kadar pengangguran juga menurun daripada 4.6 peratus pada tahun lalu kepada jangkaan empat peratus tahun ini,” katanya.
Berhubung cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menambat mata wang negara, Nor Shamsiah menegaskan ia bukan langkah terbaik demi kepentingan negara dalam persekitaran semasa yang mencabar.
“Dasar tukaran asing yang fleksibel mampu menyerap kejutan ekonomi dan memelihara daya saing Malaysia dalam persekitaran global yang mencabar.
“Menambat ringgit bukanlah langkah yang terbaik demi kepentingan Malaysia. Ia akan mendatangkan risiko yang besar kepada negara.
“Sebagai contoh, kita perlu meniru dasar monetari negara yang kita tambatkan mata wang. Jika Rizab Persekutuan (Fed) mahu menaikkan kadar sebanyak tiga peratus, maka kita juga perlu mengikutinya. Ini menyebabkan kita akan kehilangan kebebasan monetari,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini mengesyorkan kerajaan kembali menambat ringgit bagi menghentikan ketidaktentuan nilainya dan memulihkan semula kewangan negara.
Ujarnya, kerajaan perlu berani melaksanakan langkah menambat ringgit seperti mana dilaksanakan ketika era pentadbirannya pada 1997 hingga 1998.
“Ringgit kita yang naik turun nilainya. Pendapat saya didapati semasa menangani krisis mata wang pada 1997 hingga 1998. Walaupun tindakan Malaysia dikecam hebat tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kewangan kita dipulih semula.
“Akhirnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kemiskinan yang berlaku,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.