Malaysia terpaksa tanggung hutang AS$3b kerana surat sokongan Najib: Saksi

June 15, 2022 · Isu semasa

Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap hutang AS$3 bilion yang diambil oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2013 apabila menteri kewangan ketika itu Datuk Seri Najib Razak menandatangani surat sokongan untuk mengumpul dananya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu.

Surat sokongan sedemikian adalah jaminan de facto kerajaan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata adalah tidak jelas bagaimana anak syarikat 1MDB itu membelanjakan AS$3 bilion, kerana firma pelaburan negara itu gagal memberikan sebarang maklumat terkini kepada bahagiannya dalam Kementerian Kewangan (MoF).

Siti Zauyah berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-26 dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan lebih RM2 bilion dana 1MDB.

Siti Zauyah mengesahkan bahawa 1MDB – yang berhutang sebanyak AS$3 bilion pada 2013 melalui bon yang dikeluarkan oleh anak syarikatnya – telah gagal membuat pembayaran balik mengikut syarat hutang.

“Ini menyebabkan kerajaan ketika ini terpaksa menanggung pembayaran balik hutang 1MDB, berdasarkan surat sokongan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan yang ditandatangani oleh YAB Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada tahun 2013,” katanya.

Beliau merujuk kepada surat sokongan 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib dan diberikan kepada anak syarikat 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) yang akan menerbitkan bon AS$3 bilion.

Surat sokongan berkenaan penting untuk anak syarikat 1MDB itu dapat mengeluarkan bon AS$3 bilion.

Sebelum ini, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang 1MDB sebanyak AS$3 bilion, jika syarikat itu gagal membayar balik pinjaman.

Merujuk kepada surat sokongan kerajaan kepada 1MDB bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib, Ismee menjelaskan, surat itu menyatakan kerajaan Malaysia telah mengambil maklum bahawa 1MDB GIL akan menerbitkan bon sebanyak AS$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

Pengumpulan dana AS$3 bilion itu kononnya untuk pelaburan melalui usahasama yang dirancang antara 1MDB dan firma Abu Dhabi – Aabar Investments PJS – tetapi kini diketahui bahawa 1MDB sebaliknya berurusan dengan syarikat palsu yang mempunyai nama serupa dengan Aabar.

Siti Zauyah berkata 1MDB gagal memberikan mana-mana dokumen yang diminta oleh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata 1MDB dikehendaki membentangkan laporan pelaburannya kepada Kementerian Kewangan selepas surat sokongan dikeluarkan, tetapi berkata syarikat itu tidak berbuat demikian.

“Bahagian saya ketika itu bertanggungjawab mendapatkan laporan daripada 1MDB, tetapi saya mengesahkan, sepanjang bertugas di bahagian BPKA, saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada pengurusan 1MDB mengenai penggunaan dana AS$3 bilion yang mereka peroleh melalui surat sokongan daripada kerajaan,” katanya merujuk kepada bahagian pengurusan pinjaman, pasaran kewangan dan aktuari, tempat beliau bertugas di MoF.

Menurutnya bahagiannya telah meminta wakil 1MDB ketika itu Zahid Taib untuk memberikan maklum balas dan dokumen atau laporan kepada kementerian, tetapi menegaskan tiada laporan sedemikian diberikan.

“Antara dokumen yang bahagian saya secara konsisten minta ialah laporan kewangan yang diaudit 1MDB yang mereka perlu berikan salinan kepada Kementerian Kewangan, tetapi 1MDB gagal mengemukakan dokumen itu kepada bahagian saya,” katanya.

“Mengenai pengeluaran bon AS$3 bilion ini, saya mengesahkan BPKA tidak tahu dan tidak diberi laporan oleh 1MDB mengenai ke mana wang itu dibelanjakan dan digunakan, sama ada ia digunakan untuk tujuan asal mengikut permohonan mereka atau tidak digunakan untuk tujuan itu,” katanya.

Pihak pendakwaan pada hari pertama perbicaraan Najib berkata mereka akan menunjukkan bahawa 1MDB GIL pada 19 Mac 2013 hanya menerima AS$2.721 bilion daripada dana AS$3 bilion yang diperoleh dengan baki dibayar untuk yuran Goldman Sachs, dan lebih AS$1 bilion daripada AS$2.721 bilion telah dibayar kepada dua dana Devonshire Funds Limited dan Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF) – kini diketahui dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low – pada 20 Mac dan 21 Mac 2013.

Pihak pendakwaan juga berkata ia akan menunjukkan bahawa sejumlah AS$890 juta – termasuk AS$430 juta yang melalui Granton Property Holding – telah dihantar dalam beberapa hari dari Devonshire dan EEMF ke Tanore Finance Corporation, dan ia juga akan menunjukkan bahawa Tanore pada awal April 2013 telah memindahkan AS$681 atau lebih RM2 bilion ke akaun Najib.

Granton dan Tanore kini diketahui berada di bawah kawalan rakan sekutu Jho Low, Eric Tan.

Terdahulu, Siti Zauyah memberitahu mahkamah, walaupun 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MoF Inc, tiada pegawai daripada Kementerian Kewangan atau bahagian MoF Inc kementerian itu telah dilantik untuk menjadi ahli lembaga pengarah 1MDB.

“Ini kerana dalam syarikat MoF Inc yang lain (selain 1MDB), menteri kewangan tidak terlibat secara langsung seperti syarikat 1MDB ini, di mana YAB menteri kewangan iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak telah melantik dirinya menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

“Saya mengesahkan, dalam syarikat MoF Inc yang lain, perkara ini tidak berlaku,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Berita berkaitan
Permohonan Irwan, Arul Kanda batal saman 1MDB didengar 19 Okt
60 minit lalu· Isu semasa
Permohonan Rosmah cuba singkir lagi Sri Ram didengar 6 Julai
June 30, 2022· Isu semasa
Kes Guan Eng, saksi tak tahu berapa kali rasuah dibayar
June 28, 2022· Isu semasa
Mahkamah tangguh keputusan kes rogol amah ADUN Tronoh
June 28, 2022· Isu semasa
Popular
Zahid dakwa tertekan, tak nafi guna dana YAB bayar kad kredit
June 30, 2022
Operasi cari 10 pemancing, 3 kru bot hilang diperluas: APMM
July 1, 2022
Mahkamah tangguh keputusan kes rasuah Azeez buat kali terakhir
July 1, 2022
Keputusan kes rasuah Rosmah diubah kepada 1 September
July 1, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Annuar perjelas punca harga barang naik
49 minit lalu · Isu semasa
Kekurangan doktor di HKL, HTA hanya sementara
59 minit lalu · Isu semasa
Guan Eng menang kes saman terhadap dua akhbar bahasa Cina
1 jam lalu · Isu semasa
Tiada syarikat di Malaysia ada lesen import, jual air zam zam: KKM
1 jam lalu · Isu semasa
MoF sentiasa tingkat subsidi kepada rakyat: Tengku Zafrul
1 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
3 jam lalu
[VIDEO] Marah disaman tiada lesen, langgar kereta JPJ sehingga terbalik
June 30, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok