Malaysia terima 8.2 juta dos Sinovac akhir Jun, kata Ismail Sabri

Sebanyak 8.2 juta bekalan juta dos vaksin Sinovac akan diterima Malaysia hujung Jun ini bagi kegunaan orang ramai yang diperoleh proses secara “fill and finish” oleh Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd.

Sebanyak 4.4 juta dos vaksin Covid-19 itu diimport terus dari China dengan 400,000 telah diedarkan, satu juta telah diterima manakala baki tiga juta lagi diperoleh akhir bulan depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, 1.8 juta dos vaksin Sinovac akan disediakan Kilang Pharmaniaga Life Science sementara bakinya dua juta lagi dijangka pada akhir Jun ini dan ini bermakna sejumlah 8.2 juta dos vaksin jenis ini mampu dibekalkan kepada Malaysia.

Terdahulu, Ismail Sabri membuat tinjauan proses pengilangan ‘fill and finish’ di kilang Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd di Puchong.

Turut hadir Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Ismail Sabri berkata usaha syarikat itu juga berupaya membantu kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.

“Tidak timbul isu kekurangan bekalan kerana Pharmaniaga Life Science boleh bantu dengan kilang yang ada… kalaulah benar seperti digembar-gembur di luar sana iaitu kekurangan bekalan, dengan apa yang kita ada hari ini seperti yang saya kata tadi minimum menjelang penghujung Jun kita boleh bekalkan 8.2 juta dos vaksin,” katanya lapor Bernama.

Ismail Sabri berkata sehingga semalam, kilang Pharmaniaga Life Science telah menyiapkan sebanyak 1,889,800 dos vaksin untuk edaran dan jumlah keseluruhan pengeluaran produk vaksin dari kilang itu ialah 2,609,800 sehingga hujung bulan Mei 2021.

Sementara itu, Zulkarnain berkata kilang itu yang pada masa ini mempunyai kapasiti menghasilkan dua juta dos vaksin sebulan sedang meningkatkan jumlah pengeluaran kepada empat juta dos vaksin sebulan yang dijangka dapat dilaksanakan mulai Ogos ini.

“Ini strategi yang kami ambil untuk membantu kerajaan dan jika ini berlaku diharap seawal Ogos kami boleh membekalkan sehingga empat juta dos sebulan kepada kerajaan,” katanya.

Sinovac Life Sciences di China telah melantik Pharmaniaga sebagai pengedar eksklusif vaksin COVID-19 Sinovac di Malaysia pada awal tahun ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR