
Kebelakangan ini tular semula infografik palsu tentang kedudukan hutang negara dan kononnya Malaysia bakal jadi seperti Sri Lanka.
Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyatakan bahawa Malaysia mengalami masalah ekonomi, sebalik agensi itu yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata IMF baru-baru ini menyuarakan keyakinan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang pada kadar 5.75 peratus tahun ini.
Menyifatkan satu infografik berhubung kedudukan hutang negara sebagai palsu, beliau menjelaskan banyak negara di Asia mempunyai kadar hutang yang lebih tinggi daripada Malaysia.
Antaranya negara maju seperti Jepun dengan kadar hutang sebanyak 263.1 peratus daripada KDNK dan jiran kita Singapura dengan kadar hutang sebanyak 132.8 peratus daripada KDNK, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kononnya Malaysia bakal jadi seperti Sri Lanka. Betul ke? Kalau nak dibandingkan, hutang Sri Lanka ialah 107.2 peratus daripada KDNK berbanding Malaysia pada kadar 63.4 peratus sahaja. Adakah Jepun dan Singapura juga bakal bankrap lebih awal dari Malaysia?
“Kadar hutang kepada KDNK bukanlah aspek yang paling penting dalam menentukan kadar hutang adalah terkawal, sebaliknya yang paling penting adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability),” katanya.
Tengku Zafrul berkata kerajaan sentiasa disiplin menyempurnakan tanggungjawab pembayaran hutang negara dan tidak pernah gagal untuk membayar faedah dan hutang yang telah matang, sekali gus membuktikan kedudukan fiskal negara yang kukuh dan mampan.
Menurutnya IMF sendiri mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus.
“Kalau kita bandingkan indikator ekonomi Malaysia dan Sri Lanka, adalah jelas bahawa ekonomi kita jauh lebih kukuh berbanding Sri Lanka. Jadi kemungkinan untuk negara bankrap seperti Sri Lanka adalah amat tipis.
“Saya harap penjelasan ini dapat merungkai sebarang kemusykilan. Kalau ada kawan-kawan atau saudara-mara yang masih forward berita palsu ni, boleh saja share penjelasan ini agar mereka faham keadaan sebenar.
Sementara itu, dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-103 yang dikeluarkan pada hari ini, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.89 bilion kepada 357,895 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.
Katanya bagi PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencecah nilai RM12.958 bilion setakat 1 Julai 2022.
Beliau berkata di bawah PSU 2.0 setakat 1 Julai 2022, sejumlah RM1.408 bilion telah disalurkan kepada 81,158 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian seramai 719,024 pekerja.
“Sementara bagi PSU 3.0 setakat tempoh yang sama, sebanyak RM3.766 bilion telah disalurkan kepada 162,307 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.53 juta pekerja.
“Malah, PSU 3.0 turut ditambahbaik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+,” katanya.