Malaysia tak rancang campur vaksin Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia setakat ini melarang mencampuradukkan dua jenis vaksin berbeza kerana belum mempunyai data yang benar-benar sahih. - Gambar AFP

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang melaksanakan pemberian dua jenis vaksin Covid-19 berlainan kepada seorang penerima kerana tiada data kukuh mengenai kaedah itu, kata Ketua Pengarah kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, setakat ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga tidak menerima sebarang data, laporan atau bukti daripada syarikat pembuat vaksin mengenai kaedah campuran vaksin yang berjaya mengawal jangkitan Covid-19.

“Kita masih memerhatikan keadaan ini (campuran vaksin) kalau ada keperluan untuk melaksanakannya. Buat masa ini, tiada keperluan lagi.

“Terutama kalau campur vaksin Barat dan Timur contoh seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, tiada bukti lagi ia berjaya, ” katanya semalam.

Beliau berkata KKM tidak boleh mengesyorkan kaedah itu jika tiada bukti kerana perlu memastikan pemberian vaksin yang selamat kepada orang ramai.

“Jika ada kajian baharu, kita boleh nasihatkan sama ada boleh campur vaksin atau tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Thailand bakal memberikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca sebagai suntikan dos kedua kepada individu yang menerima Sinovac sebagai dos pertama, yang merupakan sebahagian daripada strategi imunisasi negara itu.

Dr Noor Hisham juga berkata kadar vaksinasi negara perlu ditingkatkan sehingga ke tahap 40 peratus bagi mengurangkan atau melandaikan kes baharu jangkitan Covid-19.

POPULAR