Malaysia sokong draf kutuk Russia

Malaysia menyokong draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mengutuk pencerobohan Russia ke atas negara bekas Soviet Union, Ukraine.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Syed Mohamad Hasrin Aidid, menegaskan komitmen Malaysia ke arah penyelesaian secara aman pertikaian itu, berpandukan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta menggalakkan kemakmuran yang lebih besar.

“Dalam hubungan ini, Malaysia akan mengundi menyokong draf resolusi yang kini dibentangkan di hadapan perhimpunan,” katanya ketika berucap di Sesi Khas Tergempar ke-11 UNGA di New York. Teks ucapan beliau dikeluarkan Wisma Putra, hari ini.

Menurutnya, Malaysia amat prihatin terhadap peningkatan konflik ketenteraan di Ukraine, selain kesal dengan ketidakupayaan Majlis Keselamatan PBB dalam melaksanakan tanggungjawab utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia juha memahami kebimbang mengenai keselamatan, namun dalam apa jua keadaan semua pihak mesti mematuhi dan menghormati prinsip kedaulatan dan integriti wilayah semua negeri, seperti yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Sebarang pelanggaran prinsip ini tidak boleh diterima. Jelas bahawa dalam situasi konflik, tiada penyelesaian boleh ditemui di hujung laras senjata api.

“Pada saat genting ini, kami menyeru semua pihak untuk menahan diri, mengambil langkah konkrit untuk meredakan kemerosotan dan meneruskan dialog bagi menyelesaikan konflik secara aman.

“Oleh itu, Malaysia mengalu-alukan rundingan langsung antara Ukraine dan Russia di Belarus pada 28 Februari 2022. Kami berharap rundingan itu akan diteruskan dan membawa penyelesaian segera kepada konflik untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan kemusnahan selanjutnya,” katanya.

Syed Mohamad Hasrin berkata Malaysia juga amat prihatin dengan laporan mengenai senjata nuklear diletakkan pada status berjaga-jagayang tinggi.

“Kami menyeru semua negara senjata nuklear untuk mematuhi Kenyataan Bersama mereka pada 3 Januari 2022 tentang mencegah perang nuklear dan mengelakkan perlumbaan senjata,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga menjelaskan Malaysia pernah mengalami kesan daripada konflik di Ukraine apabila pesawat MH17 milik Malaysia Airlines ditembak jatuh lapan tahun lalu mengorbankan 298 nyawa.

Katanya, kematian mereka yang tidak berdosa itu terus diingati dan diratapi semua.

“Kami juga mahu meneruskan usaha, bersama-sama dengan rakan senasib untuk memperoleh keadilan dan kebertanggungjawaban selaras kedaulatan undang-undang serta Resolusi Majlis Keselamatan PPB 2166 pada 2014,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR