Malaysia perlu isytihar regim Israel negara apartheid, kata Khaled

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Susulan jenayah perang dan penjajahan regim Israel ke atas umat Islam Palestin sejak enam dekad lalu, sudah tiba masanya Malaysia mengisytiharkan secara rasmi regim itu sebagai negara apartheid.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan kebiadaban regim Israel dalam operasi pembantaian serta keganasan yang berterusan oleh mereka, kecaman dan kutukan dunia semata-mata sangat tidak memadai.

“Sebelum ini negara kita Malaysia sudah mengisytiharkan secara tegas dan terang kepada dunia bahawa kita tidak mengiktiraf negara haram Israel di dalam pasport kita.

“Kini, kita mesti mengambil langkah yang lebih tegas dan radikal dengan mengisytiharkan bahawa regim Israel adalah negara apartheid secara rasmi. Ia tidak boleh bersifat kecaman secara bermusim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata lagi, dunia mesti melihat operasi pembantaian komuniti Arab, pembunuhan beramai-ramai, perampasan harta dan kediaman serta pembersihan etnik berskala besar oleh zionis sebagai apartheid sistematik serta jenayah perang dan bukannya ‘self defence’.

“Dengan mengakui Israel sebagai rejim apartheid, ia akan mengubah kedudukan rejim ini dalam forum-forum dunia dan memberi kesan yang lebih serius seperti pemutusan hubungan diplomatik dan larangan menyertai pelbagai acara dunia seperti Sukan Olimpik dan lain-lain.

“Perkara ini akan memberi tamparan serta tekanan yang jelas,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khalid mengucapkan tahniah kepada seluruh masyarakat Malaysia yang cakna akan isu ini dan bersama-sama menyumbang untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman serta bantuan kepada rakyat Palestin dalam kapasiti kita sebagai orang awam.

Beliau juga bersama seluruh rakyat Malaysia sangat berharap agar kerajaan Malaysia akan mengambil langkah yang lebih jelas, tegas dan radikal dalam isu ini.

“Sesungguhnya kita semua akan dipersoalkan tentang apa yang kita lakukan tatkala saudara kita diperlakukan dengan kejam oleh rejim pengganas yang tidak berperi kemanusiaan.

“Semoga keamanan, maruah dan hak Palestin akan kembali kepada mereka selayaknya,” katanya.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
SOP ketat PKP dinilai semula jika kes harian Covid-19 turun 4,000June 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021