Malaysia perketat sekatan ke atas rakyat negara lapor kes Omicron

Kerajaan bersetuju melaksanakan lima langkah awal bagi mengawal dan menyekat penularan varian baharu Covid-19, Omicron, setelah menerima cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata lima tindakan yang diambil ialah sekatan perjalanan sementara; memantau dan mengemas kini senarai negara yang melaporkan kes Omicron; dan memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa.

Menurutnya, langkah sekatan juga dilakukan terhadap pelajar antarabangsa dan pekerja asing, serta menerusi Program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau memaklumkan sehingga semalam sebanyak 20 negara, termasuk 18 negara yang melaporkan kes import, mengesahkan terdapat kes positif Omicron.

“Sebanyak 203 daripada 215 kes variant of concern (VOC) Omicron telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID),” katanya yang turut menyenaraikan negara melaporkan kes Omicron.

Negara terbabit ialah Afrika Selatan sebanyak 128 kes; diikuti Botswana (19); Belanda (12); Portugal (13); United Kingdom (sembilan); Australia (enam); masing-masing lima kes di Jerman dan Hong Kong; dan masing-masing empat di Itali, Israel serta Austria.

Brazil, Kanada, Jepun dan Denmark masing-masing merekodkan dua kes Omicron; serta masing-masing satu di Sepanyol, Perancis, Belgium, Republik Czech dan Sweden.

Menurut Khairy berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini varian berkenaan telah berkembang ketika jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun yang rendah, selain mempunyai banyak mutasi, termasuk sehingga 32 spike protein.

“Varian ini mempunyai 10 mutasi di protein yang melekat pada ACE2 receptor – yang membolehkan virus masuk ke dalam sel badan.

“Sebagai perbandingan, varian Beta mempunyai tiga mutasi dan Delta mempunyai dua mutasi. Varian Omicron telah menular pada kadar yang lebih pantas daripada varian lain, sekali gus menunjukkan kemungkinan besar ianya lebih mudah merebak.

“Bukti awal menunjukkan varian ini juga berkemungkinan menyebabkan risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula berbanding VOC lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sekatan sementara dikenakan terhadap lapan negara di selatan Afrika iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Tindakan juga diambil dengan mengenakan sekatan perjalanan sementara bagi pengembara bukan warganegara Malaysia dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko berlaku penularan yang disenaraikan atau pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan.

Bagaimanapun, tiada sekatan kemasukan bagi warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka panjang, namun mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.

Selain rakyat Malaysia tidak dibenar ke negara-negara berkenaan, Khairy berkata kerajaan juga bersetuju menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan Omicron.

“Penangguhan ini adalah sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai penularan varian Omicron pada peringkat global.

“Bagi VTL Malaysia-Singapura pula, semua pengembara digalak melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata penggunaan sistem ‘autogate’ Jabatan Imigresen Malaysia dihentikan sementara berkuat kuasa serta-merta, di mana penumpang dari negara yang melaporkan kes-kes Omicron hanya boleh masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), melalui ‘gate’ khas yang disediakan.

Menurutnya syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara-negara yang merekodkan kes varian itu serta memaklumkannya kepada Pejabatan Kesihatan KLIA.

Khairy juga memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara terbabit.

Sementara itu, menerusi Program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi pula, beliau berkata pelancong dari negara yang melaporkan kes positif Omicron atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari, tidak dibenar memasuki pulau itu.

“Warganegara atau penduduk Langkawi yang pulang dari negara yang melaporkan kes Omicron, dibenar memasuki Malaysia melalui pintu masuk KLIA dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

“Manakala pelancong asing yang disahkan positif Omicron akan diisolasi di hospital swasta dengan kos ditanggung sendiri,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR