Malaysia pecah lagi rekod jangkitan harian, 28,825 kes semalam tertinggi

Malaysia sekali lagi memecah rekod jangkitan harian Covid-19, apabila dalam tempoh 24 jam semalam sebanyak 28,825 kes baharu direkodkan.

Dengan enam negeri mencatat peningkatan, jumlah jangkitan semalam adalah yang tertinggi sejak wabak Covid-19 menular di negara ini setelah rakyat Malaysia pertama disahkan dijangkiti virus itu pada Februari 2020 lalu.

Ia juga adalah jumlah jangkitan harian ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN setelah Indonesia dan Vietnam. Malaysia juga berada di tangga ketiga dari segi kumulatif positif selepas Indonesia dan Filipina.

Negara mula mencatat kes harian melebihi 10,000 pada 6 Februari lalu dengan catatan 10,089 kes, dan terus meningkat hingga tertinggi direkodkan pada 16 Februari lalu sebanyak 27,831 kes. Sebelum ini, kes tertinggi dicatat pada 26 Ogos 2021 melibatkan 24,599 kes.

Angka jangkitan terbaharu semalam melonjakkan kumulatif positif kepada 3,194,848 kes, dengan 2,919,196 pesakit telah sembuh, 243,342 kes aktif dan 32,310 kematian direkodkan.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 230,491 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 5,414 ditempatkan di PKRC; 7,199 dimasukkan ke hospital; dan 238 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 130 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawangnya Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi, menunjukkan enam negeri merekodkan peningkatan jangkitan harian semalam.

Selangor kekal menjadi ‘titik panas’ Covid-19 di negara ini apabila jangkitan baharu semalam melonjak kepada 7,192 kes berbanding 6,064 kes pada Jumaat, menjadikan kumulatif positif sebanyak 889,144 kes.

Sehingga semalam, seramai 820,435 pesakit Covid-19 di Selangor telah pulih, 58,598 kes masih aktif dan 10,111 kes kematian dilaporkan, manakala 77 kluster juga kekal aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 56,934 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 483 ditempatkan di PKRC; 1,147 dimasukkan ke hospital; dan 34 dirawat di ICU, dengan 18 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Pulau Pinang turut mencatat peningkatan kes harian semalam apabila merekodkan 2,186 kes baharu berbanding 2,088 pada Jumaat, diikuti Kelantan (1,885 semalam, 1722 Jumaat); Melaka (818 semalam, 524 Jumaat); Terengganu (616 semalam, 538 Jumaat); dan Putrajaya (144 semalam, 129 Jumaat).

BERITA BERKAIT
POPULAR