Malaysia mengorak langkah percepat pelaksanaan 5G

December 20, 2021 · Isu semasa

Oleh Anas Abu Hassan, Bernama

Langkah utama industri telekomunikasi tahun ini adalah melaksanakan standard generasi kelima bagi rangkaian selular jalur lebar atau lebih dikenali sebagai 5G, yang 100 kali lebih pantas berbanding 4G.

Rangkaian 3G akan ditamatkan berkuat kuasa 31 Dis, 2021, manakala 4G sedang diperkukuh sebagai sebahagian daripada inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bertujuan untuk menaik taraf infrastruktur komunikasi digital Malaysia sebagai persediaan bagi pelancaran 5G.

Pada 10 Nov, 2021, Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan rangkaian 5G pertama negara dalam usaha untuk menambah baik kesalinghubungan dan mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi.

Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat tujuan khas (SPV) kerajaan bagi pelancaran 5G, mengumumkan ketersediaan rangkaian itu di beberapa kawasan tertentu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur bermula 15 Dis.

Pengguna yang memiliki peranti yang serasi dengan 5G akan dapat menikmati purata kelajuan 100 Mbps (Megabit sesaat). Ini bermakna pengguna pada titik paling lemah liputan 5G akan menerima purata 100 Mbps pada peranti yang serasi 5G.

Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd merupakan dua penyedia perkhidmatan pertama yang menyepadukan ke Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G DNB yang membolehkan akses 5G kepada pelanggan mereka.

DNB juga mengumumkan ia akan menawarkan perkhidmatan borong 5G secara percuma kepada semua pengendali rangkaian mudah alih di negara ini bagi percubaan komersial sehingga 31 Mac, 2022, bagi semua tapak langsung 5G yang akan disediakan di Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa bahagian di Kuala Lumpur.

DNB komited untuk mempercepat jadual melancarkan liputan 5G ke 80 peratus daripada kawasan penduduk menjelang 2024.

Permintaan Terhadap Rangkaian Borong Tunggal

DNB, entiti Menteri Kewangan (Diperbadankan), ditubuhkan pada Mac tahun ini di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan rangkaian borong tunggal (SWN) bagi rangkaian 5G yang akan mengubah dinamik pasaran mudah alih di Malaysia.

Menerusi langkah itu, syarikat telekomunikasi akan mendapat akses yang saksama terhadap teras rangkaian 5G selain mampu bersaing secara sihat dari segi perbezaan produk masing-masing.

Pada Julai 2021, DNB bertindak melantik Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd sebagai Penyedia Peralatan Rangkaian 5G (DEB) untuk mempercepat pelaksanaan rangkaian dan ekosistem 5G di seluruh negara selepas proses saringan tender yang ketat dimulakan pada Mac.

MIDF Research melihat DNB berada pada kedudukan untuk mengetengahkan yang terbaik, teknologi pada harga kompetitif dan penyelesaian bagi memacu penerimagunaan 5G di seluruh negara dengan mengurangkan kos serta pertindihan syarikat telekomunikasi.

Malah, pada masa sama, ini juga bertujuan menggalakkan lebih banyak persaingan dalam industri tersebut.

Pada masa ini, DNB melibatkan lima pengendali rangkaian mudah alih dalam Ramgkaian Akses Radio (RAN) 5G iaitu Celcom Axiata Bhd (Celcom), DiGi.Com Bhd (Digi), Maxis Bhd (Maxis), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan muktamad mengenai model borong tunggal pelaksanaan 5G menjelang Januari 2022 selepas menerima maklum balas daripada syarikat telekomunikasi dan penggiat industri terbabit.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kabinet masih dalam usaha perbincangan sama ada melaksanakan 5G menerusi satu sistem SWN atau pelbagai sistem bagi membolehkan sedikit persaingan.

Perkembangan Penyedia Perkhidmatan

Pada April 2021, Axiata Group Bhd dan Telenor Asia yang juga pemegang saham utama DiGi telah mengemukakan cadangan penggabungan Celcom dan DiGi di bawah satu syarikat dikenali sebagai Celcom Digi Bhd (MergeCo).

Apabila selesai, penggabungan tersebut bakal melahirkan sebuah syarikat selular nombor satu di Malaysia dengan 19.1 juta pelanggan manakala bahagian hasil pasaran perkhidmatan mudah alih sebanyak 52 peratus.

Pada Jun lepas, Axiata dan Telenor menandatangani perjanjian untuk menandakan pengesahan niat mereka dalam menubuhkan penyedia perkhidmatan digital yang lebih kukuh dan lebih berdaya tahan secara komersial bagi memacu matlamat digital Malaysia melalui MergeCo.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima permohonan penggabungan secara rasmi dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2022.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan lain turut mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh semasa tempoh sembilan bulan pertama 2021 walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata sepanjang 2021, kumpulan itu telah menumpukan usahanya untuk menyampaikan kesalinghubungan dan penyelesaian digital dalam menyokong kemampanan serta pemulihan ekonomi.

“Kami akan terus memainkan peranan utama kami dalam usaha pendigitalan Malaysia yang digariskan oleh pelan tindakan JENDELA, Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) termasuk rangka tindakan MyDIGITAL,” katanya.

Ketersediaan 4G dan Penamatan 3G

Menurut sebuah firma analisis mudah alih bebas, Opensignal, ketersediaan perkhidmatan 4G di Malaysia kini berada pada purata 88.8 peratus setakat November, peningkatan sebanyak 2.8 mata peratusan sejak pelaksanaan inisiatif JENDELA sejak setahun sebelum ini.

Katanya, inisiatif JENDELA telah membantu pengendali Malaysia untuk menangani pengalaman rangkaian mudah alih yang berbeza-beza di pelbagai wilayah termasuk membawa sambungan 4G ke kawasan kurang penduduk melalui pengembangan lokasi yang dilitupi 4G.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dalam laporan suku tahunannya pada September. berkata 94.03 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara mempunyai akses 4G kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat, dengan 6.43 juta premis di seluruh negara mampu memiliki kemudahan jalur lebar tetap.

SKMM telah mengumumkan bahawa rangkaian 3G akan berakhir pada 31 Dis 2021, dan menggesa pengguna telefon bimbit untuk bertukar kepada rangkaian 4G secepat mungkin.

Ini bagi mengelakkan pengguna menerima impak daripada penggunaan semula spektrum 3G untuk menambah baik rangkaian 4G selain membolehkan penyedia perkhidmatan meningkatkan kesalinghubungan digital dan menawarkan pengalaman lancar kepada pengguna di rangkaian 4G di seluruh negara.

Bagi tempoh Januari dan Sept 2021, seramai 1.17 juta pelanggan daripada 2.10 juta pengguna telah beralih daripada rangkaian 3G, manakala seramai 76,380 pengguna 3G telah menamatkan rangkaian tersebut.

Sementara itu, Opensignal berkata Malaysia mencatatkan penurunan ketara dalam aspek ketersediaan 3G di seluruh negara dengan menyaksikan kemerosotan mata peratusan sebanyak 3.6 peratus sehingga 12.3 peratus pada November.

Penamatan rangkaian 3G ini adalah seiring dengan usaha kerajaan untuk menyediakan liputan jalur lebar yang lebih komprehensif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif JENDELA.

Penyedia perkhidmatan seperti Celcom, Digi, Maxis, TM dan U Mobile telah berjaya melaksanakan peralihan 1.2 juta pelanggan 3G kepada 4G.

Memanfaatkan evolusi 5G

Industri syarikat telekomunikasi menyambut baik pelaksanaan 5G di negara ini memandangkan ia akan menawarkan kesalinghubungan yang lebih luas dengan sambungan Internet kependaman rendah.

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun yakin 5G akan membolehkan syarikat itu menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna, dan pada asasnya untuk membantu rakyat Malaysia berhubung antara satu sama lain dengan pantas.

“Sebagai syarikat telekomunikasi yang mengutamakan digital, kami sentiasa bersedia untuk menyesuaikan ciri-ciri seperti 5G kerana kita mampu menawarkan pengalaman perkhidmatan mudah alih yang dipertingkat untuk pengguna melalui pelan mudah alih yang disesuaikan dengan pilihan dan ciri-ciri yang lebih terkini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CGS-CIMB berkata semakan semula ke atas Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) akan menjadi perkembangan utama yang akan dilihat pada tahun depan.

Berita berkaitan
Tindakan akan diambil terhadap pihak kaitkan PKR dengan Liberal International: Fahmi
November 5, 2023· Isu semasa
Celcom mula uji 5G, tawar data tanpa had percuma di lokasi terpilih
September 14, 2022· Isu semasa
Kelajuan muat turun 5G di KL hanya di belakang Seoul, lapor Opensignal
August 16, 2022· Isu semasa
Zafrul kini keluarga UMNO, Zahidi kata tak boleh kritik lagi
August 5, 2022· Politik
Popular
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Polis tahan 11 lagi saksi kes tarian separuh bogel majlis Aidilfitri
June 4, 2022
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok