Malaysia cipta rekod dunia jika banduan Najib jadi PM sekali lagi: Tun M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak mungkin boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Malah, katanya jika Najib bertanding sekali lagi dan menjadi Ahli Dewan Rakyat tidak ada undang-undang yang boleh menyekatnya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) semula.

“Sekarang Mahkamah Rayuan sudah sahkan keputusan Najib bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

“Oleh kerana ianya tidak bercanggah dengan undang-undang, banduan Najib tidak akan menjalani hukuman kerana Najib membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

“Ini hak hakim. Belum pernah ada kes sebesar jenayah yang dilakukan oleh Najib. Ia adalah satu rekod dunia, mengikut Department of Justice (DOJ), Amerika Syarikat.

“Orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat stay of execution seperti ini. Najib mungkin terpaksa tunggu sampai setahun atau lebih sebelum kesnya sampai ke Mahkamah Persekutuan,” katanya mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda terhadapnya berkaitan kes SRC International.

Terdahulu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan bekas Presiden UMNO itu untuk mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Rayuan mendapati Najib diberikan kuasa istimewa dalam SRC kerana peranannya sebagai Perdana Menteri ketika itu, walaupun beliau dalam pembelaannya mendakwa tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

“Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara (Nationali embarrassment),” kata Abdul Karim.

Abdul Karim berkata, Mahkamah Rayuan mendapati wang yang dipindahkan dalam akaun Najib adalah hasil daripada aktiviti haram dan perayu mengetahui mengenai kemasukan wang daripada dana SRC dalam akaunnya.

“Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa tuduhan pengubahan haram berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes pecah amanah jenayah melampaui keraguan munasabah.

“Kami mendapati sabitan Mahkamah Tinggi terhadap semua tuduhan pengubahan wang haram terhadap perayu juga adalah selamat,” katanya.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas PM dua kali itu berkata Malaysia akan mencipta rekod sekali lagi jika Najib menjadi PM semula.

“Di masa itu ia bebas seperti orang yang tidak bersalah. Kalau semasa menanti ia dibenar terus jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia juga dapat bertanding dalam PRU 15.

“Jika ia menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia boleh jadi Perdana Menteri juga. Undang-undang tidak berkata ia tidak boleh. Jika undang-undang tidak berkata tidak boleh, maka mengikut undang-undang tentulah ia boleh.

“Alhamdulillah. Malaysia mungkin buat rekod sekali lagi kerana banduan di anugerah jawatan Perdana Menteri. Segala-gala the Rule of Law dihormati,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR