Malaysia-China perhalusi kerjasama penghasilan vaksin Covid-19 secara ‘fill and finish’

Kerjasama dua hala antara Malaysia-China sedia ada akan diperkukuhkan lagi menerusi penerokaan bidang-bidang baharu untuk kepentingan bersama.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama terbaharu itu termasuklah dalam aspek penghasilan vaksin Covid-19 secara ‘fill and finish’ (pengilangan produk pukal kepada produk siap) di Malaysia.

“Berhubung Covid-19, saya dan Perdana Menteri China Li Keqiang sepakat mengenai kepentingan jalinan kerjasama yang lebih erat dan proaktif antara kedua-dua negara bagi mengatasi wabak tersebut dan seterusnya memacu proses pemulihan, antaranya dengan kolaborasi berterusan dalam bidang yang telah dipersetujui sebelum ini seperti pembekalan vaksin, keselamatan makanan serta rantaian bekalan yang terjamin,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan China yang menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Malaysia di peringkat awal penularan pandemik Covid-19, bukti keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Beliau berkata demikian setelah mengadakan perbincangan bersama Li Keqiang,yang diadakan secara persidangan video pagi tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dalam perbincangan itu juga kedua-dua negara sepakat bahawa hubungan dua hala Malaysia-China terus berkembang positif dan erat meskipun berdepan cabaran getir kesan daripada penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan China telah memberikan respons yang amat positif supaya cadangan-cadangan kerjasama ini dibincangkan dengan lebih terperinci di peringkat kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam aspek ekonomi dan perdagangan pula, kedua-dua negara bersetuju bahawa komuniti perniagaan serta para pelabur di Malaysia dan China perlu terus meningkatkan lagi jalinan hubungan ekonomi dengan memanfaatkan peluang-peluang yang ditawarkan oleh kedua-dua negara yang terhasil daripada polisi mesra perniagaan serta persekitaran yang kondusif dan menguntungkan.

“Pada perbincangan julung kali ini, kami turut menyentuh mengenai isu-isu antarabangsa melibatkan situasi di Palestin dan Myanmar.

“Kami berdua bersetuju bahawa situasi yang memberi kesan kepada rakyat kedua-dua buah negara tersebut dan rantau sekelilingnya memerlukan desakan segera daripada semua komuniti antarabangsa agar dihenti dan diselesaikan segera,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya lagi, beliau turut memaklumkan langkah-langkah yang telah diambil oleh Malaysia dan negara lain di platform antarabangsa.

Terdahulu kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan vaksin Covid-19 Sinovac kini dibenarkan dikilangkan secara ‘fill and finish’ di Malaysia.

Kelulusan ini dijangka meningkatkan bekalan vaksin negara yang sebelum ini bergantung kepada produk vaksin siap yang diimport.

Proses pengilangan daripada produk pukal kepada produk siap itu akan dihasilkan oleh syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd.

BERITA BERKAIT
POPULAR