
80 peratus populasi dewasa Malaysia disasar diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan diterima dalam tempoh terdekat dalam usaha kerajaan untuk memperluaskan jaringan penduduk yang terbabit dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Insya-Allah, sasaran kita supaya 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai.
“Namun begitu, ingin saya ingatkan, ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama anda semua,” katanya berucap menerusi rakaman video memaklumkan perkembangan PICK hari ini.
Beliau berkata untuk tempoh dua bulan akan datang, Malaysia akan menerima kira-kira 16 juta dos vaksin Covid-19 dengan sasaran kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada Jun dan angka itu akan terus meningkat.
Katanya, kerajaan sentiasa komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar dan teratur.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok.
“Saya ingin tekankan, bahawa program vaksinasi Covid-19 ini sangat penting bagi melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada risiko jangkitan yang lebih teruk dan menyelamatkan nyawa, seterusnya membantu proses menjana semula ekonomi negara.
“Sehingga hari ini, kita telah memberikan lebih 3 juta suntikan dos vaksin, dengan lebih dua juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19. Kini kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara,” kata Perdana Menteri.
Muhyiddin berkata, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan dan Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara lain untuk mendapatkan bekalan.
Bagaimanapun beliau menegaskan hasil persediaan awal dilakukan, kerajaan berjaya menjamin bekalan vaksin yang mencukupi, malah melebihi daripada apa yang disasarkan sebelum ini.
Sambil berterima kasih kepada semua pihak, terutama petugas barisan hadapan beliau mengakui masih ada kelemahan dalam PICK namun memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa menambahbaik program berkenaan dari semasa ke semasa.