Malaria zoonotik ancaman baharu di Malaysia

Malaysia sedang menghadapi ancaman baharu yang serius dalam jangkitan malaria iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata jangkitan malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat dengan drastik dari 376 kes pada 2008 kepada 3,575 kes pada 2021 dan telah muncul sebagai penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak 2017.

“Selain jangkitan malaria manusia, Malaysia turut menghadapi ancaman baru yang lebih besar iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi.

“Ia ditularkan dari haiwan (beruk/kera) yang merupakan perumah semula jadi bagi parasit ini kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp. Berbeza dengan malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonotik kerap berlaku di luar rumah,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaria Peringkat Kebangsaan hari ini.

Katanya peningkatan kes adalah disebabkan oleh pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semula jadi malaria zoonotik, lapor Bernama.

“Pada masa ini, rawatan malaria sedia ada berkesan untuk malaria zoonotik. Cabaran Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani jangkitan ini adalah ketiadaan kaedah kawalan vektor yang berkesan bagi membendung penularan di luar rumah.

“Jika seseorang bergejala demam dan mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endemik malaria perlu segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan. Pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan perhutanan pula perlu menjalani saringan malaria secara berkala,” katanya.

Sementara itu, Khairy memaklumkan Malaysia telah berjaya mencapai sifar jangkitan tempatan malaria manusia untuk tahun keempat berturut-turut bermula 2018 hingga 2021.

Kejayaan tersebut, katanya diperoleh hasil keberkesanan inovasi dan strategi pengurusan kes dan kawalan vektor yang dilaksanakan oleh KKM.

“Antara inovasi yang telah dilaksanakan adalah semburan residual racun serangga (IRS), penggunaan kelambu berubat dan penggunaan ubat Artemisinin Combination Therapy (ACT) bagi rawatan malaria. Selain itu, liputan capaian kepada perkhidmatan diagnosis, rawatan dan kawalan vektor di kawasan terpencil telah dipertingkatkan dengan pembinaan pejabat subsektor malaria,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia kerana terdapat kes malaria import dalam kalangan pekerja asing yang baru tiba atau warga Malaysia yang pulang dari negara endemik malaria, iaitu pada 2021, Malaysia melaporkan 111 kes import malaria manusia.

“Bagi menangani ancaman ini, KKM telah menyusun strategi baru seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor.

“Di samping itu, KKM juga telah mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk diberi tumpuan pelaksanaan aktiviti survelan malaria,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR