Majoriti rakyat patuh SOP tapi segelintir sudah letih, kata pakar

Sejak kebelakangan ini tular di media sosial berkaitan gambar dan klip video di mana beberapa pihak, terutama yang digelar ‘kluster kayangan’ atau ‘selebriti kayangan’ melanggar prosedur operasi standard (SOP), hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Kemarahan disuarakan orang ramai itu berdasarkan fakta bahawa ketika ini keadaan negara masih mencatatkan angka jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Namun di sebalik pelanggaran itu, majoriti rakyat Malaysia masih mematuhi SOP apatah lagi ia sudah menjadi sebahagian norma baharu kehidupan dan dipraktikkan secara meluas di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu, lapor Bernama yang memetik beberapa pakar psikologi, hari ini.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Saad, dipetik sebagai berkata perkara itu terbukti ketika sambutan Hari Raya Puasa baru-baru ini yang menyaksikan majoriti rakyat patuh dengan arahan kerajaan agar tidak mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung.

“Namun dari segi penguatkuasaan, perlu ada pemerkasaan oleh pihak berkuasa seperti pihak pengurusan pusat beli-belah yang sepatutnya mengawal jumlah kedatangan pengunjung,” katanya.

Pakar Kaunseling dan Motivasi bebas Hushim Salleh pula berpendapat bahawa pelanggaran SOP oleh segelintir rakyat berlaku kerana mereka telah melalui PKP dalam tempoh yang panjang, hingga berasa terkongkong.

“Mereka mengalami keletihan pandemik hingga mencetuskan kesan psikologi dan emosi yang membawa pada tahap mereka sudah tidak kisah dengan situasi penularan wabak Covid-19 ini.

“Mereka bukan tidak tahu pasal angka jangkitan kes dan nasihat mengenai SOP kerana ia boleh diperoleh daripada telefon pintar masing-masing tapi keadaan sekarang ada kalanya membawa kepada pemikiran yang tidak rasional,” katanya.

Selangor masih mencatatkan kes tertinggi Covid-19 dengan sejumlah 1,650 kes baharu direkodkan semalam (17 Mei).

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman menyifatkan ketidakpatuhan SOP dalam kalangan penduduk di Selangor terutama di Shah Alam menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19.

Tinjauan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati dekat sini juga mendapati keadaan tidak sesak sebagaimana ditularkan sebelum ini.

Ini susulan kerajaan negeri memasang khemah di luar CAC untuk kemudahan pesakit dan petugas di pusat berkenaan.

Laluan Lebuhraya KL-Karak menuju ibu kota masih sesak, ramai rentas negeri?

BERITA BERKAIT
POPULAR