Majlis Raja-Raja patut bertindak terhadap kenyataan Kit Siang hina Allah

Majlis Raja-Raja Melayu yang menjaga kesucian Islam di Malaysia diminta bertindak terhadap Penasihat DAP Lim Kit Siang yang secara terbuka membuat tafsiran mempersenda Islam dan menghina Allah.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membuat gesaan itu susulan kenyataan Kit Siang berkaitan ‘Kerajaan Allah’ yang dianggap secara terbuka telah menghina Islam.

“UMMAH juga menyeru pihak berkuasa, mufti dan Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang keras terhadap kenyataan yang menghina, dengan membuat tafsiran mempersenda Islam secara terbuka yang boleh membawa natijah memesongkan agama Islam di negara ini.

“Islam adalah agama Persekutuan di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Menjaga kesucian agama Islam adalah tanggungjawab mufti dan Raja-Raja Melayu,” kata Pengerusinya Mohd Zai Mustafa.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini beliau berkata UMMAH telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan ‘De Facto’ DAP itu yang secara jelas dan terang-terangan telah menghina pengertian ‘Kerajaan Allah’ sebagaimana ditulisnya.

Agenda Daily semalam melaporkan bapa kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu menulis di dalam Facebooknya:

“If “Allah’s government” is the best form of government in Covid-19 Pandemic, why Malaysia is the last in the Economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.

Kiriman Kit Siang itu mendapat lebih 182 perkongsian dan lebih 602 komen yang menyokong dan membantah kenyataannya. Tetapi kira-kira 10 minit kemudian dia telah memadam kiriman itu.

Mengulas lanjut, Mohd Zai menyifatkan perbuatan Kit Siang itu sudah terlalu melampau dan keterlaluan kerana sanggup menyentuh sensitiviti agama demi politik.

“Inilah tindakan mempolitikkan agama, cuba mengelirukan dan membuat provokasi agama Islam dengan tulisan yang mempersenda dan yang melampaui batas. Perbuatan ini tidak dapat diterima oleh umat Islam di negara ini.

“Jelas, kenyataan Lim Kit Siang cuba mewujudkan kesangsian, mempersenda, memperlekehkan, memfitnah dan menyeleweng pernyataan ‘ Kerajaan Allah’ kerana berbeza fahaman politik.

“Ini adalah bukti betapa biadabnya kepimpinan DAP seperti Lim Kit Siang dan betapa halusnya permainan politik DAP untuk menanamkan kebencian dan membawa idealisme liberal dan kebebasan pemikiran dari keimanan umat Islam,” katanya.

Terdahulu, UMMAH menerusi Setiausaha Agungnya Khalil Idham Lim membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak jam 10.12 pagi tadi selepas menganggap kenyataan Kit Siang jelas mempersenda dan menghina Allah serta agama Islam.

15 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan kertas kerja berhubung isu penghinaan terhadap Islam, sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Kenyataan Zulkilfli dibuat susulan insiden beberapa penghantar makanan ditangkap selepas terbabit dalam pergaduhan dengan pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

BERITA BERKAIT
POPULAR