Majlis belia syor kilang tanggung kos beli vaksin Covid-19

Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan sektor industri sudah diaktifkan bagi membendung kluster tempat kerja.

Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan kerajaan mendapatkan bantuan daripada sektor perkilangan di negara ini untuk menanggung kos pembelian vaksin Covid-19 bagi pelaksanaan program imunisasi, terutama untuk warga asing dalam kalangan pekerja mereka.

Pada masa sama MBM juga mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat industri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika terdapat mana-mana industri dan syarikat selepas ini yang berdegil dan didapati melanggar SOP serta menyebabkan kluster baru, mereka perlu menanggung kos swab dan perubatan yang berpunca daripada mereka,” kata Ketua Penerangan MBM Wan Mohd Husni Abdullah.

Dengan cara ini, katanya, syarikat pasti lebih berhati-hati dan menitikberatkan SOP di kalangan pekerja mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, seperti yang diketahui umum sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar hingga 50 peratus kepada kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

Mengenai perkongsian kos pembelian vaksin Covid-19, Wan Mohd Husni berkata, langkah itu adalah situasi menang-menang antara kerajaan dan sektor industri susulan keputusan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh, sebaliknya hanya memperketatkan PKP 3.0.

“Hasil kajian MBM mendapati kos pembelian vaksin juga masih dalam kategori munasabah dan boleh disediakan oleh pihak majikan. Sebagai contoh kos bagi vaksin Sinovac dari China dan AstraZeneca (Britain) berharga sekitar US$5 (RM20.70) bagi setiap dos.

“Jika ini dilaksanakan, MBM percaya kaedah ini mampu membantu kerajaan menjimatkan kewangan Negara selain alternatif kepada tidak perlunya pelaksanaan lockdown malah ekonomi masih boleh terus berjalan tanpa menjejaskan sektor kilang malah peniaga-peniaga kecil juga masih boleh beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, jika cadangan ini mendapat kelulusan kerajaan, pengusaha kilang boleh membeli vaksin dan melaksanakan program vaksinasi ke atas pekerja mereka dengan segera.

POPULAR