Majistret letak Bella bawah jagaan Siti Bainun, kata saksi

June 30, 2022 · Isu semasa

Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dia pada mulanya enggan meletakkan mangsa penderaan Bella di bawah jagaan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, yang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap pengasas rumah kebajikan itu berkata, dia menolak kerana tidak mengenali Siti Bainun ketika pertama kali bertemu pada 14 Julai 2020.

Katanya, dia berada di mahkamah bersama Bella, yang menghidap sindrom down, untuk meminta hak penjagaan sementara kanak-kanak itu supaya dia boleh terus tinggal di salah sebuah rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat di Seremban.

“Mahkamah memberikan kami hak penjagaan sementara untuk Bella tinggal di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah dari 14 Julai hingga 20 September tahun itu.

“Saya kemudian membawa Bella ke Pejabat Kebajikan Masyarakat di mahkamah, di mana kami bertemu dengan Siti Bainun dan seorang lagi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat bernama Siti Sarah. Ini kali pertama kami semua bertemu.

“Siti Bainun ‘bermain’ dengan Bella, dan Bella memeluknya,” katanya.

Imran berkata Siti Sarah kemudiannya memberitahu niat Siti Bainun.

“Saya tidak bersetuju kerana tidak tahu siapa Siti Bainun. Siti Sarah cuba bercakap dengan saya, dengan memberitahu saya bahawa Siti Bainun menjaga dua lagi kanak-kanak sindrom down.

“Bagaimanapun, saya enggan mengalah,” katanya sambil menambah majistret bagaimanapun akhirnya meletakkan Bella di bawah jagaan Siti Bainun.

Beliau memberitahu hakim Mahkamah Sesyen Isralizam Sanusi bahawa beliau kemudiannya bertemu majistret untuk membantah perintah itu.

“Majistret berkata dia hanya mahu meletakkan Bella di bawah jagaan Siti Bainun, dan melihat bagaimana keadaannya. Saya tiada pilihan sebaik sahaja majistret mengeluarkan perintah itu,” katanya.

Mohamad Imran juga memberitahu bahawa Bella berada di dalam keadaan takut dan tubuh badannya kurus semasa berjumpa buat kali pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tahun lepas.

Menurutnya semasa beliau melawat remaja itu pada 4 Julai 2021, Bella bukan sahaja dilihat tidak gembira malah berjalan dalam keadaan tunduk tanpa melihat sesiapa selain kedua-dua tangannya turut berbalut.

“Saya berjumpa Bella yang dirawat di wad Covid hospital itu dan saya melihat mukanya berparut. Bella juga dilihat tidak senyum serta ketakutan,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Menceritakan lebih lanjut, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata pada 24 Jun 2021, beliau menerima WhatsApp daripada Siti Bainun yang memaklumkan Bella jatuh dan terkena air panas.

“Siti Bainun hantar WhatsApp pada 3.03 petang dan dia ada menghantar beberapa gambar kecederaan pada tangan dan kepala Bella. Siti Bainun kata dia telah pergi ke hospital dan membeli ubat spray kuning.

“Dalam WhatsApp itu juga, Siti Bainun turut nyatakan Bella positif Covid-19 tetapi dia tidak membawa Bella untuk buat ujian swab kerana takut dengan keadaan fizikal Bella,” kata saksi itu.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam bersambung.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Iklan ‘duit raya’ GDBET333 dinyahaktif
April 16, 2021
Jangan sewa akaun bank kepada scammer, elak jadi mangsa penipuan
September 20, 2021
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok