
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais mengingatkan kerajaan PH-BN supaya tidak melindungi kartel hingga lebih suka mengeksport telur ayam ke luar negara untuk meraih untung berlebihan, sehingga bekalan tempatan kekurangan.
Isu kekurangan bekalan telur ayam terus menjadi mimpi meresahkan rakyat Malaysia, tatkala kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) masih gagal menangani masalah sekecil itu.
Memberi alasan untuk ‘mencuci tangan’, kononnya masalah bekalan itu telah berlaku sejak tahun lalu, menteri-menteri yang bertanggungjawab, termasuk di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), masih gagal menangani isu itu.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh misalnya memberi alasan bahawa ayam tidak bertelur, namun persoalan timbul dari mana pula datangnya telur ayam yang dieksport ke Singapura.
Sementara, Menteri MAFS Mohamad Sabu pula ke India untuk mengimport telur ayam bagi menyelesaikan isu bekalan tempatan.
Susulan daripada itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan dan meminta kerajaan PH-BN memberi penjelasan sebenar jumlah pengeluaran telur tempatan dan berapa pula yang dieksport, khususnya ke Singapura.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata sekiranya ayam Malaysia tidak bertelur, dari mana pula datangnya telur ayam yang banyak dieksport ke Singapura.
Pada masa sama, Wan Saiful menggesa kerajaan PH-BN menjelaskan jumlah keseluruhan pengeluaran telur oleh lima syarikat pengeluar telur terbesar tempatan iaitu QL Resources Berhad; LTKM Berhad; CCK Consolidated Holdings Berhad; Lay Hong Berhad; dan Teo Seng Capital Berhad.
Menyusul kenyataan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais, turut mengingatkan kerajaan PH-BN tidak melindungi kartel-kartel telur ayam yang menyebabkan rakyat terbeban.
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata kenyataan Wan Saiful menggambarkan wujudnya kartel telur yang mengambil kesempatan di atas ketidakketentuan nilai ringgit untuk mengeksport telur ke luar negara bagi mendapatkan untung berlebihan.
“Kerajaan PH-BN perlu mendedahkan jumlah sebenar telur yang dieksport ke luar negara ketika ini dan jangan melindungi kartel-kartel ini hingga membebankan rakyat Malaysia.
“Tidak relevan untuk Menteri berkenaan membuat rombongan hingga ke India sedangkan pengeluaran telur negara pada 2021 adalah sebanyak 13,955,240,660 biji.
“Adakah wujud kartel import pula di mana harga yang didapati di India lebih mahal. Kita menggesa kerajaan jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan permit import (AP) oleh kerajaan PH-BN ini?” soalnya merujuk kepada langkah Mohamad atau Mat Sabu ke India untuk mencari telur ayam.
Mahathir mengingatkan bahawa rakyat sedang susah akibat kenaikan harga barang sekarang ini di mana rata-rata golongan B40 yang miskin bergantung kepada telur sebagai protein utama.
Katanya telur merupakan sumber protein utama dan dilihat antara bahan makanan termurah bagi semua golongan, terutama pendapatan rendah dan sederhana.
“Oleh itu, jangan dianggap isu telur perkara yang remeh dan melindungi kartel yang mengambil keuntungan di saat rakyat sedang susah,” katanya.