Mahkamah tolak permohonan tangguh serah harta Najib

July 22, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta yang disita daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak mereka dan beberapa individu lain.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan selaku pemohon dan peguam yang mewakili Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah), anak mereka Nor Ashman Razak, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri Lim Hwee Bin sebagai responden pertama hingga kesembilan.

“Saya tidak nampak alasan munasabah berkenaan permohonan ini jadi saya menolak permohonan pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah pemulangan harta,” kata hakim itu.

Pada 8 November tahun lepas, Mohamed Zaini memerintahkan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, 27 kenderaan dan wang tunai pelbagai mata wang yang disita daripada mereka yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong dalam hujahannya berkata pihaknya memohon untuk penangguhan berikutan rayuan terhadap keputusan pelucuthakan itu sedang didengar di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh 6 September ini sebagai pengurusan kes dan pihak pendakwaan masih menunggu rekod rayuan.

“Saya mohon mahkamah pertimbangkan…pihak kami telah memfailkan permohonan rayuan dalam tempoh masa, jadi kami masih mempunyai kuasa terhadap barangan yang disita sehingga kes diputuskan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng dan isterinya berhujah pihak berkuasa membenarkan akses secara langsung kepada akaun bank milik pasangan itu susulan saman yang difailkan mereka terhadap dua bank berkenaan iaitu Maybank (cawangan Plaza Damansara) dan RHB Bank (cawangan Bangsar Shopping Centre Office Tower).

Tan berkata beliau juga tidak tahu sekiranya wang di dalam akaun milik anak guamnya masih wujud kerana pihak bank telah membenarkan akses terhadap akaun sejak April lepas.

“Kami akan menulis kepada Jabatan Peguam Negara untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan itu, memandangkan mereka (Jabatan Peguam Negara) yang memberi arahan kepada pihak bank untuk membenarkan akses terhadap akaun anak guam,” katanya.

Peguam Mardhiyah Siraj dan Azamuddin Aziz, masing-masing mewakili Najib, Riza Shahriz dan Nor Ashman memohon agar mahkamah menolak permohonan untuk menggantung perintah pemulangan harta atas alasan tidak wujud keadaan istimewa yang membenarkan penggantungan itu.

“Pemohon juga tidak lagi mempunyai kuasa untuk menangguhkan kerana perintah sita selama 12 bulan telah tamat,” katanya.

Pada 8 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta-harta itu kepada kerajaan dan permohonan penangguhan itu dibuat sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan sama, Hakim Mohamed Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak aset daripada lapan responden lain kerana mereka tidak membantah permohonan itu iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd dan tiga bekas pegawai 1MDB yang melarikan diri, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun. – Bernama

Berita berkaitan
Perbicaraan Najib wajar ditangguh sehingga siasatan Nazlan selesai: Hisyam Teh
6 jam lalu· Isu semasa
Rayuan kes SRC Najib: Usul masuk bukti tambahan dibenarkan mahkamah
7 jam lalu· Isu semasa
Menjelang perbicaraan terakhir esok, Najib istiqamah dengan keputusan bakal dihadapi
August 14, 2022· Politik
Najib dakwa skandal LCS dimainkan seperti 1MDB, sehingga diheret ke mahkamah
August 14, 2022· Isu semasa
Popular
Permohonan Najib ‘cacat, pentingkan diri sendiri’, kata pendakwaan
August 15, 2022
Perbicaraan Najib wajar ditangguh sehingga siasatan Nazlan selesai: Hisyam Teh
August 15, 2022
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Tak adil dakwa laporan LCS fitnah hanya kerana Pengerusi PAC dari DAP
August 15, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Dewan Negara lulus empat RUU
1 jam lalu · Isu semasa
Bursa Malaysia ditutup rendah
1 jam lalu · Isu semasa
KKM mohon lebih banyak dana penjagaan kesihatan awam
2 jam lalu · Isu semasa
Skandal kapal tak siap: Bekas pegawai tinggi BNS didakwa esok
2 jam lalu · Isu semasa
Kenyataan CEO BNS isu skandal kapal LCS bercanggah, kata PAC
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Polisi baharu cegah kematian tahanan polis
7 jam lalu
[VIDEO] Himpunan kapal LCS mahu siasatan bukan penjelasan
8 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok