
Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, pada Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Mahkamah Persekutuan hari ini (29 Julai) menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan rayuan terakhirnya berhubung sabitan kesalahan menyeleweng dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Susulan itu, prosiding rayuan akhir itu yang dijadualkan selama 10 hari bermula 15 Ogos ini, akan diteruskan mengikut ketetapan yang telah dibuat.
Memetik laporan BH, keputusan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas pengurusan kes rayuan berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.
Sebelum ini, Najib menamatkan khidmat peguam utamanya dalam kes itu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma guaman Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya.
Dia melantik barisan peguam diketuai peguam senior kes jenayah, Hisyam Teh Poh Teik bersama-sama Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sehari kemudian.
Ahli Parlimen Pekan itu turut melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara baharu.
Pengumuman lantikan tersebut dibuat oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co melalui sepucuk surat Pemakluman Perberhentian Kaunsel dan Peguam Cara kepada pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh 26 Julai.
Susulan itu, peguam baharu Ahli Parlimen Pekan itu memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa mereka memohon penangguhan perbicaraan rayuan terakhir itu kes berkenaan, yang dijadual bermula pada 15 Ogos, kerana baharu sahaja dilantik.
Liew juga meminta Mahkamah Persekutuan untuk pengurusan kes pada atau sebelum hari ini (29 Julai), berikutan pertukaran pasukan pembelaan Najib dalam kes SRC dan supaya pasukan undang-undang baharu diberikan maklumat terkini dan mendapatkan arahan lanjut daripada mahkamah.
Selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Disember 2021, Najib pada 8 Disember 2021 memfailkan rayuan terakhirnya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan pada 29 April memaklumkan kedua-dua peguam Najib dan pihak pendakwaan bahawa ia akan mendengar rayuan itu selama 10 hari dari 15 Ogos hingga 19 Ogos, dan dari 22 Ogos hingga 26 Ogos.
Selain memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan mengenai rancangan Najib untuk meminta penangguhan perbicaraan rayuan terakhir pada Ogos, pasukan pembelaan baharu itu berkata mereka juga akan memohon penangguhan permohonan Najib yang difailkan sebelum ini pada 7 Jun 2022 di Mahkamah Persekutuan.
Dalam permohonannya pada 7 Jun lalu, Najib memohon untuk menambah apa yang didakwanya bukti baharu dan memanggil saksi baharu bagi kes SRCnya untuk menyokong dakwaannya berhubung konflik kepentingan oleh hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Dia juga meminta Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan SRC terbatal dan mempertimbangkan untuk memerintahkan perbicaraan semula.