Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

February 22, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata, lapor Bernama.

“Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.

“Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan.

“Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari ini untuk pengurusan lanjut kes itu dan Najib turut diarah memfailkan pernyataan pembelaannya menjelang 31 Mac depan.

Peguam Harvinderjit Singh hadir bagi pihak Najib manakala Datuk DP Naban mewakili SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika prosiding sebelum ini, Harvinderjit berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

Pada 7 Mei tahun lalu, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Berita berkaitan
Najib ke mahkamah sambung kes RM2.28b 1MDB selepas keluar hospital
6 jam lalu· Isu semasa
PKR hormati keputusan mahkamah kes anak murid, kata Anwar
September 24, 2022· Politik
MP PKR juga gesa hormat keputusan mahkamah kes rasuah Zahid
September 23, 2022· Politik
Hakim baharu akan dengar saman 1MDB terhadap Deutsche Bank, enam pihak lain
September 23, 2022· Isu semasa
Popular
Polis siasat penghuni madrasah dakwa didera ala militan: Arjunaidi
September 23, 2022
Najib ke mahkamah sambung kes RM2.28b 1MDB selepas keluar hospital
September 26, 2022
1,608 kes baharu, dua kematian
September 26, 2022
PRU musim hujan, banjir: Pembayar cukai kena tambah lagi RM1 bilion
September 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Dakwaan murid hampir diculik: Polis Perak tubuh pasukan khas siasatan
16 minit lalu · Isu semasa
Jenayah siber: 12,092 kes, RM414.8 juta hilang dari Januari-Julai 2022
32 minit lalu · Isu semasa
Zizie Izette mohon notis usul didengar bersama Bung Moktar
43 minit lalu · Isu semasa
14 Nov keputusan kes rampasan barangan mewah milik Najib dan Rosmah
1 jam lalu · Isu semasa
Pengurus bank sahkan lebih RM90 juta masuk akaun peribadi Najib
2 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Penganalisis ramal OPR naik lagi November depan
38 minit lalu
[VIDEO] Ismail Sabri, PM pertama berucap bahasa Melayu di PBB
September 24, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok