Mahkamah tolak permohonan Ketua Hakim Syarie terhadap Lokman Adam

February 16, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap Datuk Lokman Noor Adam berikutan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu telah memfailkan pernyataan pembelaannya pada 11 Feb lepas.

Berdasarkan dokumen mahkamah, permohonan penghakiman ingkar itu ditolak oleh Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris semalam, lapor Bernama.

Peguam Logen Eskander, yang mewakili Lokman berkata permohonan Mohd Na’im ditolak atas alasan anak guamnya telah memfailkan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman Ketua Hakim Syarie itu.

“Salinan pernyataan pembelaan itu telah dihantar ke pejabat Tetuan Akberdin & Co (firma guaman mewakili Mohd Na’im) pada hari sama pernyataan pembelaan difailkan (11 Feb) dan wakil daripada firma guaman tersebut menerima dokumen berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Peguam itu berkata, pihaknya juga terkejut dengan laporan media semalam yang menyatakan anak guamnya gagal memfailkan pernyataan pembelaan meskipun diberi lanjutan masa sehingga 11 Feb lepas untuk berbuat demikian selain memaklumkan laporan itu tidak benar.

Pada 14 Februari lalu, Mohd Na’im selaku plaintif memfailkan permohonan penghakiman ingkar menerusi Tetuan Akberdin & Co terhadap Lokman selaku defendan kerana didakwa gagal memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Logen berkata mahkamah menetapkan 21 Feb ini untuk pengurusan kes saman itu manakala pendengaran injunksi inter parte (kedua-dua pihak) ditetapkan pada 22 Mac depan.

Pada 20 Jan lepas, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan Lokman supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Mohd Na’im berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube miliknya, dalam tempoh 24 jam selepas membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im.

Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Januari lalu, Mohd Na’im memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Mohd Na’im, 54, yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin’.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebooknya, bulan lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

Sementara itu, Lokman dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 11 Feb lepas menafikan hantaran-hantaran yang dimuat naik di laman sosial itu mengandungi perkataan yang memfitnah plaintif selain mendakwa ia merupakan komen berpatutan.

“Melalui pendedahan, keterangan, dokumentasi dan juga aduan-aduan daripada mangsa menunjukkan terdapatnya perbuatan gangguan seksual yang dibuat oleh plaintif dan berdasarkan kepada segala informasi yang diterima, saya percaya ia benar dari segi fakta. Adalah wajar untuk pihak polis atau pihak berkuasa membuat siasatan dengan segera,” katanya menerusi pernyataan pembelaan itu.

Berita berkaitan
Perbicaraan kes rasuah Bung Moktar dan isteri ditetapkan pada Julai
9 jam lalu· Isu semasa
Kes Lokman Adam buat kenyataan jelik terhadap Ismail Sabri dibicara Sept
9 jam lalu· Politik
Kes sedang dalam perbicaraan minta digugurkan, ini kerajaan luar tabii: Razali
12 jam lalu· Politik
Kes rasuah: SPRM buat dakwaan tak berasas, kata Guan Eng
May 26, 2023· Isu semasa
Popular
Gabenor BNM, jangan bagi kenyataan gula-gula, tegur MP kerajaan
May 28, 2023
KBS jawab Ismail Sabri, peruntukan RM20 juta bina litar tak pernah diluluskan
May 29, 2023
Hadi ucap tahniah atas kemenangan Erdogan
May 29, 2023
Kerajaan perlu telus, banyak persoalan LCS belum terjawab : TI-M
May 29, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Menu Rahmah berjaya turun inflasi harga makanan, kata Salahuddin
27 minit lalu · Isu semasa
Ringgit ditutup rendah, harga minyak juga jatuh
2 jam lalu · Isu semasa
Projek Aerotropolis: Sanusi kata susah betul nak dapat jumpa PMX
2 jam lalu · Isu semasa
Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi baharu PNB bermula 1 Jun
2 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan perlu telus, banyak persoalan LCS belum terjawab : TI-M
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] KJ syor Tengku Zafrul calon MB Selangor jika PH-BN menang di Selangor
6 jam lalu
[VIDEO] UMNO salah langkah, akan tersasar jika terus bersama DAP
May 28, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok