Mahkamah sivil tiada kuasa semak keputusan Mahkamah Syariah, kata peguam

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah dan ia adlah muktamad.

Ini kerana, Mahkamah Syariah telah diberi kuasa sepenuhnya mengikut undang-undang bagi menafikan seorang wanita yang dilahirkan sebagai Islam daripada meninggalkan agama itu dan memeluk Buddha dan Konfusianisme.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Ali berkata Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara di bawah mahkamah Islam.

“Peruntukan itu adalah untuk menghentikan pihak yang terkilan datang ke mahkamah sivil untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah,” katanya yang mewakili kerajaan dalam membantah usaha seorang wanita berusia 32 tahun untuk memulakan cabaran undang-undang untuk keluar Islam.

Mohammad Sallehuddin mengemukakan bantahan terhadap permohonan kebenaran kehakiman oleh wanita itu dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Terdahulu, wanita yang dilahirkan sebagai penganut agama Islam itu mendakwa dia tidak pernah mengamalkan agama terbabit dan ibunya memberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih agama.

Katanya, dia sebelum itu ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan perintah keluar daripada agama Islam kerana ingin mengamalkan agama Buddha.

Tidak lama selepas dia memfailkan permohonan itu, mahkamah memerintahkan dia menjalani 12 sesi kaunseling, memetik laporan FMT.

Selepas itu, mahkamah menolak permohonannya untuk keluar Islam, dan memintanya menghadiri lebih banyak sesi kaunseling. Apabila merayu, Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan itu.

Wanita terbabit kemudiannya ke mahkamah sivil dalam usaha untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah. Dia mendakwa keputusan untuk menolak permohonan “penukaran untuk keluar” melanggar Artikel 11, yang menjamin kebebasan beragama seseorang.

Ahmad Kamal kemudian bertanya kepada Salehuddin, bagaimana jika keputusan Mahkamah Syariah adalah “salah”.

Salehuddin menjawab: “Sama ada keputusan itu betul atau salah, ia tamat di situ. Jika tidak, semua orang (yang tidak berpuas hati) akan datang ke mahkamah sivil.”

Beliau berkata Mahkamah Syariah bukan “tribunal, di mana pihak yang kalah boleh datang ke mahkamah sivil untuk mencabar satu keputusan”.

“Tribunal tidak diberi perlindungan seperti Perkara 121(1A),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR