
Permohonan Najib sekali lagi ditolak berhubung rayuan semakan semula.
Datuk Seri Najib Razak gagal meyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk membenarkan beliau mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan menyalahgunakan dana daripada SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak percubaan bekas Perdana Menteri itu untuk memasukkan, kononnya, bukti berkaitan penemuan terbaharu berhubung dakwaan konflik kepentingan hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Mahkamah memutuskan bahawa bukti tambahan itu tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap pemohon.
Tengku Maimun yang membacakan penghakiman berkata mahkamah berpandangan bukti tambahan yang ingin dimasukkan tidak relevan dengan pertuduhan ke atas Najib.
“Atas semua sebab yang kami nyatakan, kami dapati pemohon gagal melepasi ambang di bawah Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman.
“Usul itu dengan ini ditolak. Kami kini akan meneruskan rayuan utama,” katanya.
Empat anggota panel hakim lain ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.
Najib memohon untuk memasukkan antaranya, keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein yang menjalankan siasatan ke atas skandal SRC.
Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank, terutamanya dalam khidmat nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan bahagian nasihat kewangan Maybank, Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.
Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung perananannya ketika menjawat jawatan itu dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International.
Mengetuai pendakwaan ialah Ketua Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram, yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin; Sulaiman Kho Kheng Fuei; Mohd Ashrof Adrin Kamarul; dan Manjira Vasudevan.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam mewakili Najib.
Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 iaitu hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, setelah Najib didapati bersalah atasu tujuh pertuduhan berkaitan SRC.
Kes itu kini di Mahkamah Persekutuan dan ini adalah peluang terakhir Najib untuk meyakinkan hakim bahawa sabitan dan hukumannya harus dibatalkan.
Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama sembilan hari mulai hari ini hingga 19 Ogos dan disambung semula selepas hujung minggu pada 23 Ogos hingga 26 Ogos.