
Istana Kehakiman di Putrajaya.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 Ogos depan untuk mendengar permohonan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan speakernya, berhubung enakmen antilompat parti yang diluluskan sebelum ini.
DUN dan speakernya mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah terbatal kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Peguam A Surendra Ananth mengesahkan tarikh perbicaraan itu ditetapkan ketika pengurusan kes yang diadakan baru-baru ini, lapor Bernama.
Menurutnya beliau bercadang untuk menulis kepada mahkamah untuk meminta panel yang lebih besar terdiri daripada tujuh atau sembilan hakim untuk mendengar kes itu.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan fiat (perintah khas) kepada peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) dan speaker negeri itu, yang merupakan defendan.
Empat ADUN, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam); dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.
Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020 manakala Khaliq dan Zolkifly adalah ahli Bersatu.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Azizan Md Arshad semalam membenarkan permohonan rujukan yang dikemukakan DUN dan speakernya di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Azizan berkata ketika itu, hakim Mahkamah Agung, Hashim Yeop Sani membuat pemerhatian bahawa kehilangan kelayakan ahli Parlimen adalah subjek Persekutuan manakala yang melibatkan ADUN adalah subjek negeri.
Beliau memberi kebenaran kepada pemohon untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan bahawa mereka telah memenuhi syarat asas di bawah Seksyen 84.
DUN Pulau Pinang dan Speaker Datuk Law Choo Kiang mahu persoalan perlembagaan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atas dasar keputusan berhubung perkara dalam kes Nordin Salleh melawan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah diputuskan pada 1992, perlu dihujahkan lagi.
Dalam penghakimannya, Azizan berkata dalam kes Abdul Karim Abdul Ghani melawan Badan Perundangan Sabah yang melibatkan isu kehilangan kelayakan ahli DUN di bawah Perkara 74(4) Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.