
Mas Ermieyati mengalahkan tiga calon lain di Parlimen Masjid Tanah pada PRU-15 - Abdul Hakim Abdul Wahid daripada BN, Mutalib Uthman (PH-MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).
Petisyen pilihan raya difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di kerusi itu adalah cacat dan mesti dibatalkan.
Perkara itu diberitahu peguam Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dinamakan sebagai responden dalam petisyen berkenaan, ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini (17 Januari 2023).
Beliau berhujah demikian ketika mengemukakan empat bantahan awal terhadap permohonan Abdul Hakim.
Ia termasuk isu pemfailan petisyen berkaitan dakwaan rasuah wang dan jamuan dilakukan di luar masa ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.
Mohd Faizi memberitahu mahkamah, Seksyen 38 (1) akta itu menyatakan petisyen pilihan raya mesti dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan.
Namun, katanya, pengecualian bagi dakwaan perbuatan rasuah mengikut Seksyen 38 (1) (a), boleh dikemukakan pada bila-bila masa dalam tempoh 28 hari selepas tarikh pembayaran atau perlakuan yang didakwa itu.
“Dalam kes ini, keputusan pilihan raya diwartakan 14 Disember 2022, namun petisyen difailkan pada 3 Januari lalu. Perlakuan rasuah didakwa berlaku pada tarikh pilihan raya 19 November 2022 dan tarikh akhir pemfailan petisyen adalah pada 17 Disember 2022.
“Jadi kami menghujahkan petisyen ini lebih daripada 28 hari. Kedua, soal pelantikan peguam yang tidak mengikut undang-undang apabila tidak disetem kerana ia turut membabitkan duti setem dan sebagainya, juga menyebabkan petisyen ini tidak sah dan cacat,” katanya menurut laporan BH. Beliau dibantu peguam, Ahmad Nazrin Abu Bakar.
Mohd Faizi turut berhujah, pempetisyen gagal memperincikan dakwaan bagaimana jamuan menghargai sukarelawan pilihan raya yang diadakan selepas tarikh pilihan raya berlangsung boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya bagi Parlimen itu.
Katanya, responden juga menghujahkan pempetisyen melakukan kesilapan kerana tidak menamakan pegawai pengurus pilihan raya dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen itu.
“Dalam semua petisyen pilihan raya, kita akan menamakan pegawai pengurus pilihan raya dan SPR, namun dalam kes ini tidak dinyatakan.
“Pempetisyen memohon supaya keputusan dibatalkan dan seterusnya satu pilihan raya baharu diadakan. Bagaimana mahkamah hendak keluarkan perintah untuk mengadakan pilihan raya terhadap pihak yang tidak dinamakan dalam prosiding ini,” katanya.
Abdul Hakim diwakili peguam, Datuk Khairul Abd Kadir dan Wan Hamidah Wan Ismail.
Mahkamah kemudian mengarahkan responden memfailkan hujahan bertulis pada 25 Januari dan jawapan oleh pempetisyen pada 27 Januari, sebelum memberikan keputusan bantahan awal itu pada 31 Januari ini.
Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.
Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru selepas menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman mewakili Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar, calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).