
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur atau dikenali Rumah Bonda dibenarkan untuk membuka operasi semula tetapi dengan bersyarat, premis berkenaan berkenaan tidak boleh beroperasi sebagai pusat jagaan.
Kebenaran pembukaan semula Rumah Bonda diberikan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas dikenakan tindakan Lak (penutupan) pada 12 Julai tahun lalu ekoran Notis Lak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) kerana tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Majistret Nur Syafiqah Noorinda hari ini membenarkan perintah untuk menanggalkan Lak seperti yang dipohon Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali dalam saman pemula difailkan 7 Jun lalu terhadap Jabatan JKM WPKL supaya premis itu dibuka semula.
Menurut peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda selaku plaintif kepada media, perintah menanggalkan Lak diberikan Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993, tanpa bantahan daripada pihak JKM.
Beliau berkata, melalui perintah itu, Rumah Bonda hendaklah mengaku janji bahawa premis berkenaan tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.
Katanya, Rumah Bonda sudah dikompaun dan menjelaskan kompaun berjumlah RM5,000 pada 25 April 2022.
Dalam prosiding itu, Pengarah JKMWPKL diwakili Peguam Persekutuan, Fatin Shafira Ab Patah.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama saman pemula berkenaan, Siti Bainun berkata, Pertubuhan Rumah Bonda ditubuhkan pada 31 Januari 2019 yang pada mulanya beroperasi di Laman Residen, Kipark Seri Utara sebelum berpindah ke Taman Setapak pada 27 Oktober 2020.
Di Taman Setapak, rumah perlindungan itu dikenali dengan nama Rumah Bonda dan sepanjang beroperasi, ia berada bawah pengawasan dan pemantauan JKMWPKL.