
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan hadir ke mahkamah esok secara fizikal untuk mengikuti prosiding rayuan berkaitan kes samannya terhadap bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonannya itu.
Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu mahkamah kehadiran Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun itu ke mahkamah penting bagi membolehkan peguambela mendapat arahan sewajarnya daripada bekas presiden UMNO itu.
Beliau juga berkata, Najib yang menfailkan saman terhadap Tommy kerana didakwa melakukan penyelewengan dalam jawatan awam itu mempunyai hak untuk menghadiri prosiding di mahkamah, lapor Bernama.
Najib, 69 merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy dalam kes itu.
Najib yang juga bekas Pengerusi BN mendakwa pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.
Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib berkata beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Thomas merupakan peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.
Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.
Pada 25 November lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas perdana menteri itu kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 22 Dis lepas.
Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Oktober untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan samannya terhadap Thomas.