
Mahkamah membenarkan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya pasport antarabangsa beliau diserahkan semula buat sementara waktu bagi membolehkannya mengetuai misi kemanusiaan ke Palestin.
Kebenaran itu diberi Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi mulai hari ini hingga 20 Julai 2021, kata peguam Azeez, Amer Hamzah Arshad seperti dilaporkan portal UMNO hari ini.
Katanya, hakim turut memerintahkan Azeez menyegerakan permohonan mendapatkan visa dan urusan berkaitan bantuan kemanusiaan itu dan memaklumkan kepada mahkamah segala perkembangannya.
“Misi tersebut dijangka akan berangkat pada 19 Jun 2021 hingga 5 Julai 2021 dan membawa bersama sepasukan doktor pakar bagi membantu mangsa-mangsa yang tercedera dan juga memberikan sokongan dan bantuan psikitrik post trauma kepada warga Gaza yang terkesan dengan serangan baru-baru ini,” katanya.
Azeez yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia membawa bersama pakar pembinaan IBS dan wakil CIDB untuk membantu membangunkan semula Gaza, termasuk pembinaan semula lebih 17,000 rumah yang musnah melibatkan 50,000 penduduk, sekolah dan hospital serta kemudahan awam lain yang hancur dibom.
“Bantuan kepakaran dalam isu bekalan air bersih dan sistem kumbahan yang daif akibat daripada kesan serangan juga akan menjadi salah satu matlamat misi pada kali ini.
“Misi kemanusiaan juga akan memberikan bantuan kewangan kepada petani, nelayan dan biasiswa bayaran pembelajaran kepada anak-anak Gaza di universiti tempatan mereka,” katanya.