
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Muhammad Jamil Hussin membebas dan melepaskan Tan Sri Shahrir Samad selepas pihak pendakwaan enggan meneruskan kes. Mengikut jadual hari ini Datuk Seri Najib Razak sepatutnya menjadi saksi.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (5 Januari 2023) membebas dan melepaskan Tan Sri Shahrir Samad daripada kes pengubahan wang haram berhubung dakwaan kegagalannya mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Keputusan itu dibuat setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin mendengar hujah pihak pendakwaan yang mengesahkan bahawa kes terhadap bekas Pengerusi Felda itu tidak akan diteruskan.
“Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan pendakwaan tidak diteruskan terhadap tertuduh dalam masa terdekat.
“Dalam keadaan sedemikian adalah wajar tertuduh dilepaskan dan dibebaskan, saya menggunakan peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah untuk perintah itu,” katanya hakim.
Mengikut jadual perbicaraan hari ini, Najib sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes Shahrir.
Tetapi Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan tidak lagi mahu meneruskan kes terhadap Shahrir.
“Yang Arif, berdasarkan perkembangan terkini, pihak pendakwaan memohon menggunakan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan kami tidak berhasrat meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes ini, Yang Arif.
“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon untuk tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya dalam mendapatkan DNAA.
Tetapi peguam Shahrir mendesak agar dia dibebaskan, bukannya hanya diberi DNAA yang akan membolehkan Shahrir terbuka untuk didakwa semula pada masa hadapan atas perkara yang sama.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Shahrir dibebas dan dilepaskan.
“DPP mengesahkan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan terhadap tertuduh dalam masa terdekat (masa terdekat), dalam keadaan sedemikian, adalah wajar tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” kata hakim itu, turut memerintahkan pasport Shahrir dikembalikan kepadanya.