Mahkamah AS buktikan pemimpin tak amanah, seleweng wang 1MDB

Keputusan Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang mendapati seorang bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng bersalah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia ketika itu, tidak amanah.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbicaraan Ng mendedahkan bukti-bukti mengenai penyelewangan 1MDB yang melibatkan pegawai dan pemimpin utama kerajaan Malaysia pada ketika itu.

“Bagaimana tidak amanahnya mereka menyeleweng berbilion ringgit wang 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pelaburan strategik dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi negara.

“Wang ini sebaliknya digunakan untuk memperkayakan diri sendiri dan kroni,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata beliau telah menentang perbuatan jenayah mereka sejak daripada awal dan akan terus berjuang menghalang kumpulan kleptokrat ini daripada kembali berkuasa.

Muhyiddin juga yakin mahkamah di Malaysia akan meberikan keadilan kepada rakyat Malaysia dalam kes 1MDB.

“Saya percaya mahkamah di negara kita juga akan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam kes 1MDB yang masih dalam prosiding. Perbicaraan kes ini mesti disegerakan agar keadilan segera dicapai,” katanya.

Beliau mengulas keputusan juri Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York, AS yang terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita, membuat keputusan bahawa Ng disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pertuduhan rasuah lain berkaitan penyelewengan dana pelaburan 1MDB.

Dia berdepan hukuman penjara selama 30 tahun tetapi tempohnya mungkin lebih singkat.

Ng bagaimanapun kekal bebas dengan bon jaminan AS$20 juta, sementara Hakim Daerah AS Margo Brodie tidak menetapkan tarikh hukuman dilaksanakan.

Peguam Negara AS, Breon Peace, dalam kenyataannya menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai suatu kejayaan kepada rakyat Malaysia.

Bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, Ng adalah satu-satunya pegawai Goldman yang dibicarakan di AS berkaitan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan dana 1MDB.

Juri mendengar hampir dua bulan berhubung bukti rasuah dan sogokan berjumlah puluhan juta dolar yang didakwa didalangi penjenayah dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Penyelewengan itu termasuk pembiayaan mewah untuk batu permata yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak – Datin Seri Rosmah Mansor – karya seni, kapal layar dan hartanah.

Pihak pendakwa raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) dicuri daripada 1MDB, dana yang ditubuh oleh Najib pada tahun 2009 bagi membiayai program-program di Malaysia.

Najib hilang kuasa selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya kalah pada Pilihan Raya Umum 2018, yang melihat pembangkang ketika itu menggunakan isu 1MDB sebagai subjek utama kempen mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan kemudiannya memfailkan sebanyak 42 pertuduhan jenayah terhadap Najib, yang membawa kepada sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun kepada beliau pada Julai 2020 atas pendakwaan berkaitan penyelewengan wang daripada sebuah anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib kini bebas dengan jaminan sementara proses rayuan beliau berjalan dan juga menghadapi pertuduhan lain yang melibatkan 1MDB.

BERITA BERKAIT
POPULAR